Yayasan Tunku Abdul Rahman peruntuk RM4 juta, tawar 30 biasiswa
Irfan Faruqi
Februari 7, 2024 19:31 MYT
Februari 7, 2024 19:31 MYT
KUALA LUMPUR: Sejumlah 30 biasiswa ditawarkan pada tahun ini dengan anggaran peruntukan sebanyak RM4 juta menerusi Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam satu kenyataan berharap YTAR terus meningkatkan akses pendidikan tinggi terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik rentas agama dan bangsa di samping mengetengahkan pembangunan kepimpinan berasaskan nilai dalam kalangan belia.
Kenyataan tersebut turut menjelaskan Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) adalah biasiswa komprehensif yang berfungsi sebagai platform untuk membentuk pemimpin muda yang komited untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Biasiswa ini terbuka kepada pelajar yang berasal daripada pelbagai latar belakang di Malaysia, terutama daripada komuniti kurang berkemampuan.
Lanjutan itu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami berkata Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) tidak semata-mata menilai pencapaian akademik bagi menganugerahkan biasiswa yang ditawarkan.
“Pemilihan bukan sekadar berdasarkan kepada kejayaan semasa. Ini kerana, keputusan yang mereka terima mungkin terjejas akibat beberapa faktor.
“Contohnya, kita ada seorang pelajar dari Kinabatangan, Sabah, namanya Razman Durhan yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.31.
“Apa punca beliau tidak mampu peroleh pencapaian lebih tinggi daripada itu? Ini kerana, Razman ada sembilan adik beradik dan terpaksa bekerja sambil belajar untuk menyara keluarganya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambah Saraswathy, kecekalan yang ditunjukkan oleh Razman menunjukkan keupayaannya untuk memimpin dengan menjaga adik-beradik dan menyara keluarga.
Berdasarkan sikap dan potensi yang ada pada Razman, pelajar tersebut telah ditawarkan biasiswa untuk menyambung pengajian.
Permohonan untuk Biasiswa Tunku Abdul Rahman akan dibuka pada Khamis, 8 Februari 2024 hingga 8 April 2024.
Untuk makluman lanjut, anda boleh melayari laman web di www.yayasantar.org.my.