Yayasan Sultanah Rogayah sumbang RM79,645, ringankan beban masyarakat India

Astro Awani
Oktober 6, 2023 03:25 MYT
Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) yang ditubuhkan dengan ilham Sultan Johor menyampaikan bantuan berjumlah RM79,645 kepada 13 penerima pada Khamis - Foto/Royal Press Office (RPO)
KUALA LUMPUR: Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) yang ditubuhkan dengan ilham Sultan Johor menyampaikan bantuan berjumlah RM79,645 kepada 13 penerima.
Inisiatif berkenaan menunjukkan komitmen YSR, yang terus prihatin terhadap masyarakat India khususnya dalam bidang kebajikan, pendidikan, keusahawanan serta persatuan.
Pengerusi YSR, Datuk R Sugumaran berkata, pihaknya masa ke masa menyampaikan pelbagai bantuan kepada masyarakat India yang memerlukan dalam meringankan beban mereka.
“Pada Ogos lalu, YSR menyampaikan sumbangan lebih RM60,000 kepada 17 penerima melibatkan empat bidang.
“Seiring dengan hasrat Sultan Johor (Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar), yang sentiasa dekat di hati rakyat, YSR juga amat memahami permasalahan dihadapi rakyat khususnya masyarakat India,” katanya kepada Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan.
Majlis penyampaian sumbangan berlangsung di Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Johor Bahru, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Sugumaran berkata, pada acara Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 yang lepas, YSR turut menganjurkan pemeriksaan mata secara percuma di empat lokasi.
“Saringan pemeriksaan mata dijalankan melibatkan 430 orang dan daripada jumlah itu seramai 56 didapati mempunyai masalah glaukoma, katarak dan retinopati diabetik,” katanya.
Pada Jun lalu, YSR juga menyampaikan bantuan kewangan kepada seorang suri rumah bagi menampung kos implan alat Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) jantung.
“YSR menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Puan Vasanthi Sepiah yang berusia 58 tahun,” katanya.
YSR ditubuhkan dengan ilham DYMM Sultan Johor pada 23 Mac 2015 bersempena Istiadat Kemahkotaan Baginda bagi membantu masyarakat India dari segi kebajikan, usahawan dan pendidikan.
#Sultan Ibrahim #Yayasan Sultanah Rogayah #Bantuan masyarakat India #Royal Press Office