Yayasan Rizalman Ibrahim biaya dana RM1.2 juta bina surau di Sungai Dua

Astro Awani
Februari 23, 2025 15:50 MYT
Rizalman (tengah) menyerahkan replika cek bernilai RM1.2 juta sumbangan Yayasan Rizalman Ibrahim kepada Saifulbahri (kiri).
BUTTERWORTH: Pada awalnya, Saifulbahri Pabillah dan seluruh Jemaah di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua, di sini, tidak henti-henti berusaha mencari dana bagi menampung pembinaan surau di taman perumahan berkenaan.

Ringkasan AI
  • Saifulbahri Pabillah dan jemaah di Taman Merbau Jaya berusaha keras mengumpul dana untuk membina Surau Ar Rijal, dan berjaya mengumpul RM200,000 pada 2023.
  • Yayasan RI menyumbang RM1.2 juta untuk pembinaan Surau Ar Rijal, yang dijangka siap pada November dan boleh menampung 380 jemaah.
  • Surau ini akan memudahkan penduduk melaksanakan solat berjemaah dan pengurusan jenazah, serta menjadi pusat menimba ilmu.
  • Rizalman Ibrahim menyatakan bahawa pembiayaan ini adalah sebahagian daripada usaha Yayasan RI untuk memperkasakan masyarakat Islam dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan hasil sumbangan orang ramai.

Pelbagai usaha dilakukan sehingga jumlah kutipan yang diperoleh mencecah RM200,000 pada 2023.
Tiada istilah putus asa, jemaah di situ, kata Saifulbahri, pada setiap masa berikhtiar bagi memastikan hasrat dan keinginan 320 jemaah Taman Merbau Jaya membina Surau Ar Rijal direalisasikan.
Ketika bergelut berhadapan cabaran bagi mendapatkan dana yang mencukupi, hasrat murni jemaah di penempatan itu mendapat perhatian daripada Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI).
Memahami keperluan sebuah surau bagi umat Islam di situ, pasukan Yayasan RI bersetuju untuk membiayai pembinaan Surau Ar Rijal dengan matlamat akan membantu jemaah melaksanakan ibadah seperti yang dituntut.
Sebaik menerima khabar gembira daripada Yayasan RI, Saifulbahri yang juga Pengerusi Surau Ar Rijal dan seluruh jemaah di Taman Merbau Jaya tidak henti-henti mengucapkan kesyukuran dan kegembiraan.
“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa bersyukurnya kami apabila Yayasan RI bersetuju untuk membantu kami membiayai pembinaan Surau Ar Rijal. Ia memberi makna yang cukup besar buat kami di Taman Merbau Jaya,” kata Saifulbahri kepada Astro AWANI.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan replika cek bernilai RM1.2 juta daripada Yayasan RI daripada pengasas dan pemegang amanah utama Yayasan RI, Datuk Rizalman Ibrahim.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rizalman Ibrahim Group of Companies dan pemegang amanah Yayasan RI, Faizul Surani; Ketua Pegawai Operasi Yayasan RI, Farhana Mizei dan Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari Resources, Jailani Jantan
Dibina setinggi dua tingkat, Surau Ar Rijal yang boleh menampung 380 jemaah pada satu-satu masa dijangka siap dibina menjelang November depan.
Kata Saifulbahri, surau berkenaan amat diperlukan di Taman Merbau Jaya untuk memudahkan penduduk melaksanakan solat secara berjemaah.
Bahkan, dalam masa-sama tertentu khususnya ketika berlaku kematian, surau sedemikian juga diperlukan bagi pengurusan jenazah selain akan dijadikan pusat menimba ilmu seperti yang disarankan oleh Yayasan RI.
“Kami akan memanfaatkan sebaik-baiknya surau ini untuk pembangunan umat Islam di Taman Merbau Jaya dan jemaah-jemaah di sekirarnya,” jelas Saifulbahri lagi.
Sementara itu, Rizalman dalam ucapannya pada majlis penyerahan cek itu berkata, persetujuan Yayasan RI untuk membiayai pembinaan Surau Ar Rijal bertitik tolak pada matlamat yayasan itu memperkasakan ideologi dan semangat masyarakat Islam.
Bahkan, jelas Rizalman, Yayasan RI juga sentiasa ke hadapan untuk menghulur bantuan kepada khalayak yang memerlukan dalam kerja-kerja pembangunan Islam
Kata Rizalman, dorongan Yayasan RI untuk membiayai pembinaan surau berkenaan juga sebagai kesinambungan pada kerja-kerja kebajikan hasil sumbangan orang ramai ke tabung yayasan.
“Alhamdulillah, saya hanya melaksanakan amanah para penderma dengan memanjangkan rezeki mereka membiayai pembinaan surau ini.
“Semoga Surau Ar Rijal ini akan memberi manfaat yang besar kepada jemaah-jemaah di sini,” kata Rizalman.
Bagi Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari Resources, Jailani Jantan pula, apabila siap dibina kelak, Surau Ar Rijal akan berfungsi sebagai pusat sehenti kepada jemaah di Taman Merbau Jaya melaksanakan ibadah.
“Kami akan membantu pentadbiran Surau Ar Rijal kelak dalam kerja-kerja mengimarahkan Surau Ar Rijal apabila ia siap kelak.
"Sebolehnya, kita mahu di surau ini, boleh dilaksanakan segala aktiviti untuk semua lapisan jemaah,” ujar Jailani.
#Yayasan Rizalman Ibrahim #Yayasan RI #Surau Ar Rijal #pembinaan surau
;