Yayasan PETRONAS sumbang 735 peranti kepada pelajar Terengganu

Astro Awani
September 28, 2021 09:00 MYT
Yayasan PETRONAS menyumbang kemudahan pembelajaran berbentuk peranti dan data internet kepada 735 pelajar di Terengganu menerusi Program Cerdik.
DUNGUN: Yayasan PETRONAS menyumbang kemudahan pembelajaran berbentuk peranti dan data internet kepada 735 pelajar di Terengganu menerusi Program Cerdik.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata pihaknya sentiasa komited menyokong usaha kerajaan untuk terus menyediakan pendidikan yang berkualiti, terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19.
Menurut beliau, sumbangan tersebut disampaikan melalui Pejabat Pendidikan daerah Kemaman, Besut, Kuala Nerus, Dungun dan Marang.
Program Cerdik | Yayasan PETRONAS sumbang kemudahan pembelajaran
Selain itu, peranti berkenaan turut dilengkapi dengan aplikasi Delima, penyelenggaraan peralatan serta jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun.
“Fokus program ini adalah dalam aspek pendidikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami berharap dengan sumbangan peranti berserta perkhidmatan internet ini dapat membantu para pelajar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di samping dapat mengurangkan jurang digital dalam kalangan mereka,” katanya.
Sementara itu, Aqilah Zahidah Ayob, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai, Dungun berkata sumbangan itu membantu memudahkan dia mengikuti sesi PdPR bersama rakan-rakan sekelas yang lain.
“Dulu sebelum ada iPad, saya terpaksa kongsi telefon dengan kakak, dan agak susah apabila jadual untuk mengikuti kelas dalam talian secara Google Meet kami bertembung pada waktu yang sama.
“Selain itu, ketika menggunakan telefon pintar saya juga berdepan gangguan teknikal seperti gambar kabur dan bunyi kurang jelas,” katanya.
Katanya lagi, penggunaan peranti yang disumbangkan oleh Yayasan PETRONAS dapat membantu mempertingkatkan tahap kreativiti dan bakat pelajar.
Dalam pada itu, berdasarkan kajian ke atas 900,000 pelajar yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia tahun lepas, 37 peratus pelajar di negara ini tidak mempunyai kelengkapan yang bersesuaian untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.
Usaha berkenaan adalah sebahagian daripada sumbangan RM30 juta oleh Yayasan PETRONAS melalui Program Cerdik yang melibatkan 12,000 pelajar di seluruh Malaysia.
#Program Cerdik #yayasan petronas #Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman #PdPR
;