Yayasan jaga kebajikan mangsa MH370, MH17 dicadang - Rohani

Bernama
Oktober 5, 2014 11:04 MYT
Yayasan jaga kebajikan mangsa MH370, MH17 dicadang - Rohani
Penubuhan sebuah yayasan telah dicadangkan bagi menjaga kebajikan waris mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dan MH370, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata mesyuarat pertama untuk membincangkan penubuhan yayasan tersebut dijangka akan diadakan dalam tempoh masa terdekat ini.
"Kementerian saya, yang menjaga hal-ehwal waris mangsa MH17 dan MH370, MAS serta kementerian berkaitan dengan tragedi itu akan bermesyuarat bagi membincangkan penubuhan yayasan khas tersebut," katanya.
Bagaimanapun, katanya, mesyuarat pertama cadangan penubuhan yayasan itu tidak melibatkan waris mangsa.
Rohani, yang juga Anggota Parlimen Batang Lupar, berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi Kampung Hilir dan Kampung Hulu, dua kampung di dalam kawasan Parlimen yang diwakilinya, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyumbangkan empat ekor lembu kepada dua kampung tersebut untuk tujuan korban sempena Aidiladha.
Mengulas lanjut mengenai fungsi yayasan tersebut, Rohani berkata idea awal penubuhan yayasan tersebut adalah untuk memenuhi semua keperluan waris mangsa tragedi tersebut.
"Yayasan ini akan menentukan bagaimana sumbangan yang diterima akan diagihkan, semua itu akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat pertama itu nanti," katanya.
MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Beijing pada 12.41 tengah malam, 8 Mac lepas.
Sehingga kini, pesawat itu belum ditemui bagi membongkar kehilangannya dan usaha mencari masih diteruskan di Lautan Hindi.
MH17 pula, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, terhempas selepas dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine, pada 17 Julai lepas, semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Kesemua penumpang dan anak kapal termasuk 43 rakyat Malaysia dalam pesawat Boeing 777-200 itu terbunuh.
#Malaysia #MH17 #MH370 #Rohani Abdul Karim