Yayasan Hasanah komited, sedia galas amanah giat ekonomi, sejahtera rakyat

Bernama
Februari 25, 2023 09:45 MYT
Yayasan Hasanah percaya amanah itu bakal memantapkan lagi daya tahan dan peluang khususnya untuk manfaat komuniti di Program Perumahan Rakyat (PPR).
KUALA LUMPUR: Yayasan Hasanah komited dan sedia menggalas amanah yang diberikan dalam Belanjawan 2023 ke arah mempergiat aktiviti ekonomi serta kesejahteraan rakyat, kata Pemegang Amanah dan Pengarah Urusannya Datuk Shahira Ahmad Bazari.
Beliau berkata Yayasan Hasanah percaya amanah itu bakal memantapkan lagi daya tahan dan peluang khususnya untuk manfaat komuniti di Program Perumahan Rakyat (PPR).
"Selari dengan fokus kami dalam bidang pendidikan, pembangunan komuniti, seni dan ruang awam, alam sekitar dan pengetahuan, kami cukup bersemangat melihat Belanjawan 2023 yang turut menekankan hak pendidikan untuk anak-anak yang tercicir dalam pelajaran, menoktahkan kemiskinan tegar, menyemarakkan kebudayaan dan kesenian serta memelihara khazanah alam negara kita," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Menurut Shahira, Yayasan Hasanah menyambut baik Belanjawan 2023 yang tertumpu kepada usaha meringankan bebanan sara hidup rakyat, terutamanya memastikan golongan berpendapatan rendah tidak tercicir dalam menempuhi cabaran ekonomi digital.
"Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan atas kepercayaan dan amanah yang diberikan demi membangunkan Malaysia MADANI yang progresif dan inklusif," katanya.
Dalam pengumuman Belanjawan 2023 hari ini, Perdana Menteri mengumumkan RM30 juta untuk mempergiat aktiviti ekonomi rakyat seperti perusahaan makanan menggunakan platform Cloud Kitchen di bawah seliaan Yayasan Hasanah.
--BERNAMA
TAG: Belanjawan 2023, PPR, Cloud Kitchen, Shahira Ahmad Bazari
#Belanjawan 2023 #Anwar Ibrahim #Yayasan Hasanah #Shahira Ahmad Bazari
;