Yayasan Felda catat rekod MBOR, tawar pengajian dialisis pertama di Malaysia
Eton Khir
November 30, 2021 20:08 MYT
November 30, 2021 20:08 MYT
KUALA LUMPUR: Yayasan Felda berjaya meraih pengiktirafan menerusi Malaysia Book Of Records (MBOR) atas pencapaian dan sumbangannya susulan menjadi Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pertama yang menawarkan program pengajian dialisis di Malaysia.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program ini telah berjaya melahirkan seramai 75 orang pelajar sejak bidang tersebut dilaksanakan pada 2019 dan usaha itu akan diteruskan mengikut keperluan pasaran semasa.
Tambahnya, kursus ini juga telah mendapat pengiktirafan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dan dijalankan selama dua tahun bagi Sijil Kementerian Malaysia (SKM) Tahap Satu hingga Tiga.
"Alhamdulillah, kita di Yayasan Felda telah lama mengadakan kursus dialisis dan ini buat kali pertama kita secara serius ingin melaksanakan kursus TVET dialisis yang mana kita merupakan institusi pertama yang melaksanakannya.
"InsyaAllah kita akan dapat membekalkan keperluan-keperluan tenaga dialisis yang diperlukan di banyak pusat-pusat hemodialisis di seluruh negara," katanya dalam sidang media Majlis Penyerahan Sijil Malaysia Book of Record kepada Yayasan Felda pada Selasa.
Ujarnya lagi, menerusi kursus tersebut, para pelajar akan mempelajari perkara-perkara berkaitan persediaan rawatan dialisis ke atas pesakit, pengendalian mesin, rekod dan stok perubatan sehingga ke peringkat penyeliaan.
Di samping itu, Idris berkata, lebih daripada 479 pusat dialisis swasta yang boleh menempatkan tenaga kerja berkemahiran dari Kolej Yayasan Felda sekali gus mampu meningkatkan kebolehpasaran golongan belia di dunia pekerjaan.
"Kita akan lihat macam mana keperluan di dalam industri tetapi ini juga akan memberi ruang kepada anak-anak peneroka, keluarga peneroka dan generasi mereka kepada peluang pekerjaan yang biasanya amat lumayan.
"Kadang-kadang belum habis Tahap Tiga dah nak keluar dah, dan saya merayu pada mereka supaya tunggu Tahap Tiga sebelum mereka keluar untuk mendapat pekerjaan," ujarnya.
Selain itu, pengiktirafan Malaysia Book of Records itu juga mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Felda dalam menjadi pemacu pembangunan generasi yang progresif selain penyediaan peluang yang berkualiti.
"Yayasan Felda juga telah merangka strategi bagi meningkatkan jumlah pengambilan sebanyak tiga kelas bagi setiap kohort menjadikan jumlah pelajar seramai 225 orang dijangka dijalankan di Kelana Jaya sekali gus meningkatkan mobiliti sosial warga Felda keseluruhannya," katanya lagi.
Turut hadir, Pengerusi Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Felda, Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid, Karip Mohd Salleh, Nasaruddin Ahmad, Muhammad Fadzli Hasan, Raja Faridah Raja Ahmad dan Perunding Kanan (Rekod) MBOR, Siti Hajar Johor.