Yayasan Bank Rakyat salur bantuan kepada 450 keluarga mangsa banjir Hulu Langat
Astro Awani
November 13, 2020 05:25 MYT
November 13, 2020 05:25 MYT
KUALA LUMPUR: Sejumlah 450 keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di sekitar daerah Hulu Langat pada 3 November lalu menerima bantuan kewangan sebanyak RM90,000.
Peruntukan yang dibuat oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) ini merangkumi keseluruhan keluarga yang mendiami penempatan di sekitar Mukim/Dun Hulu Langat (Dusun Tua), Hulu Langat (Sungai Serai) dan Hulu Langat (Kg.Dusun Nanding).
Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata bantuan sebanyak RM200 disumbangkan kepada setiap keluarga yang dikenal pasti terkesan.
Tambah beliau lagi, hasil daripada makluman yang diterima, difahamkan secara keseluruhan lebih 1,460 keluarga memerlukan bantuan keperluan asas bagi kelangsungan hidup.
Pada satu majlis di Pejabat Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi semalam telah berlangsung sesi Simbolik Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir yang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir wakil penduduk kawasan Hulu Langat, Datuk Haji Johan Abdul Aziz yang juga Pengerusi Barisan Nasional Hulu Langat.
Wan Junaidi dalam ucapannya berkata bantuan ini satu usaha murni YBR dalam menjalankan aktiviti kemasyarakatan seiring dengan misi dan visinya.
Ini juga membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memfokuskan kesejahteraan rakyat dan membantu mereka yang memerlukan bantuan, khususnya yang ditimpa bencana alam seperti banjir.
“Inisiatif sebegini merupakan medium terbaik bagi pihak YBR sendiri untuk mendekati masyarakat serta mengeratkan lagi ukhwah silaturrahim di kalangan masyarakat setempat,” jelasnya.
Bantuan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban ditanggung mangsa dalam mengharungi saat-saat sukar, ditambah pula dengan lanjutan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di hampir semua negeri di semenanjung Malaysia.
#Yayasan Bank Rakyat
#Bank Rakyat
#mangsa
#mangsa banjir
#banjir
#rakyat
#bank
#Hulu Langat
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB