Yayasan anak mangsa COVID-19 wajar diwujudkan - Annuar Musa
Israr Khalid
Ogos 21, 2021 07:02 MYT
Ogos 21, 2021 07:02 MYT
KUALA LUMPUR: Sudah lebih 14,000 nyawa rakyat Malaysia terkorban akibat COVID-19 sejak ia membadai hampir dua tahun lalu.
Daripada angka itu, ramai yang pergi meninggalkan anak-anak yang masih kecil.
Masa depan mereka ini entah bagaimana selepas kehilangan ibu atau bapa, atau lebih tragis kedua-duanya sekali.
Kerana itu, Tan Sri Annuar Musa merasakan perlunya kerajaan memberi perhatian khusus tentang hal ini.
“Ini satu cabaran kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk pastikan supaya ada satu bentuk jaring keselamatan kepada mereka yang menjadi mangsa COVID-19.
“Contohnya mungkin perlu ada satu yayasan atau satu dana bagi semua anak-anak yatim piatu ini yang ditinggalkan pada keadaan mereka belum bersedia atau belum berada pada tahap yang boleh menjaga diri sendiri lagi,” jelas Ahli Parlimen Ketereh itu.
Bagi Annuar, anak-anak yatim ini tidak boleh dibiarkan terkapai-kapai mencari makna hidup sendiri dan perlunya ada bimbingan.
Maka kerajaan perlu campur tangan secara lebih terus dan proaktif, dan beliau percaya kepimpinan Perdana Menteri baharu ini berupaya melakukannya.
Beliau berkata demikian dalam program temu bual Agenda AWANI yang dihoskan oleh Nazri Kahar pada Sabtu.
Yayasan anak mangsa COVID-19 wajar diwujudkan - Annuar Musa
#Agenda Awani
#Tan Sri Annuar Musa
#anak yatim
#COVID-19
#pandemik
#yatim piatu
#yayasan
#ismail sabri yaakob
#Perdana Menteri
#Parlimen