Yayasan Akalbudi: Zahid Hamidi terharu, berterima kasih pada yang beri sokongan
Astro Awani
April 14, 2022 21:57 MYT
April 14, 2022 21:57 MYT
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan rasa terharu dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan terhadapnya dalam menjawab 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi (YAB) di Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu.
Beliau yang memilih memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, berkata sebagai orang kena tuduh, beliau mempunyai dua pilihan lain bagi mengelakkan pihak pendakwaan melakukan soal balas terhadapnya.
“Pertama dengan memberi keterangan dari kandang orang kena tuduh dan kedua berdiam diri di mahkamah.
“Tetapi apakah dua pilihan lain itu wajar bagi saya yang berazam membersihkan nama saya. Beranilah kerana benar.
“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan mendoakan kejayaan saya.
“Seperti pernah dinyatakan saya akan guna mahkamah sebagai tempat terbaik untuk melakukan pembelaan. Insya-Allah saya akan terus gagahi perjuangan ini untuk mendapatkan keadilan buat diri saya,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu pada Khamis.
Pada Rabu, Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi di sini, menafikan pernah mengarahkan sesiapa menggunakan dana Yayasan Akalbudi bagi kegunaan peribadinya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian sewaktu membaca keterangan bersumpahnya setebal 27 muka surat, dari tempat duduk saksi, yang membolehkan pihak pendakwaan menyoal tertuduh semasa pemeriksaan balas.
Katanya, beliau sentiasa membabitkan diri dalam aktiviti kebajikan dan amal serta menggunakan sebahagian besar pendapatannya sejak dahulu lagi bagi tujuan itu.
Mahkamah Tinggi juga diberitahu bahawa beliau tidak dapat meneruskan kerja-kerja kebajikan berikutan dana Yayasan Akalbudi dibekukan selepas beliau didakwa di mahkamah.
Ahmad Zahid, 69, mendedahkan perkara itu ketika disoal peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.