Yasin fail representasi keempat kepada Jabatan Peguam Negara
Afiezy Azaman
Mac 15, 2023 11:50 MYT
Mac 15, 2023 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bakal memfailkan representasi keempat kepada Jabatan Peguam Negara bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya.
Menurut peguam bela, Ariff Azami Hussein, pasukan pembelaan tiada niat untuk melengahkan prosiding dengan menfailkan representasi namun ia adalah di atas arahan anak guamnya selepas representasi ketiga atas tujuan sama ditolak dua hari lalu.
Malah Ariff Azami yakin pertuduhan terhadap Muhammad Yasin boleh diusahakan tanpa melalui perbicaraan.
Jelasnya lagi, tiada bantahan supaya perbicaraan untuk Rabu dan Khamis dilapangkan sementara representasi keempat dimasuk serta dipertimbangkan.
Beliau berkata demikian ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen, Nik Nasimah Nik Mohammad, pada Rabu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, mengesahkan tidak membantah permohonan berkenaan dan Hakim kemudian menetapkan 31 Mei, 1 dan 2 Jun ini untuk perbicaraan kes.
Muhammad Yasin didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis, di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara.