Yans Creation bantu usahawan muda buka butik
Tan Su Lin
Februari 27, 2016 07:35 MYT
Februari 27, 2016 07:35 MYT
Siapa sangka hanya bermodalkan RM50 ringgit, Yani Bakhtiar, 54, boleh berjaya hingga memiliki butiknya sendiri.
Bermula dengan duit raya anak-anaknya itu, ibu kepada lima orang anak itu mula menjahit pakaian kanak-kanak untuk dijual di pasar malam.
Dengan sedikit untung yang diperoleh, beliau terus menjahit hingga bermula perniagaan fesyennya itu.
"Ia bermula sebagai hobi. Saya memang suka menjahit dan ibu saya pun seorang penjahit. Jadi saya mencuba nasib mungkin ia dapat menambah rezeki keluarga saya pada masa itu," katanya.
Berkat kesabaran dan kerja keras, Yani berjaya membuka butik pertamanya di Dataran Merdeka, kemudian di Ampang Park, The Mall, KLCC dan kini di Kenanga Wholesale City.
Minat mendalam terhadap fesyen mendorongnya membantu melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang berkenaan.
"Suka duka sepanjang berbelas tahun di bisnes ada naik turun. Jadi kebetulan apabila saya mulakan bisnes baru di Kenanga Wholesale City, tergerak dalam hati saya untuk dapat saling membantu pelanggan yang nak buka butik," katanya yang lebih mesra.
Bermula kerjaya dari tahun 1989, Yani berkongsi pengalaman lebih 20 tahunnya itu, dengan usahawan yang baru bertatih dalam perusahaan fesyen.
Beliau bukan hanya sekadar berkongsi ilmu, malah menyalurkan mereka yang terkena tempias ekonomi, peluang memulakan perusahaan di bawah jenamanya, Yans Creation.
"Di Yans Creation kami memberi peluang kepada anak-anak didik untuk menukar pakaian. Kalau kurang laku di tempat mereka silakan menukar stok di kedai saya. Jadi di butik masing-masing sentiasa baru."
"Saya juga akan tolong mendekorasi. Dekorasi adalah paling penting dalam sesebuah butik sebab kalau pakaian digantung sana sini jadi pelanggan tak fokus apa dia nak beli. Jadi kita wajib sebuah butik mempunyai konsep masing-masing." katanya.
Malah Yani pernah membimbing seorang bekas kakitangan MAS yang diberhentikan kerja, membuka butik Intuisi by Yans Creation di Wangsa Maju.
Dr Mimi A. Jamal, yang mengusahakan bersama butik berkenaan bersama suaminya, seorang bekas jurutera pesawat MAS, menyifatkan Yani bukan sekadar mentor baginya malah bantuan dari segi sokongan hinggalah "meminjamkan" stok pakaian antara faktor perniagaan butiknya itu dapat dimulakan.
"Kami memang bukan orang yang buat bisnes dan tiada pengetahuan dalam bisnes. Kami cuma meminati fesyen. Jadi saya rasa saya tak boleh jumpa lagi orang yang boleh membantu kita sehingga tahap itu kerana apa-apa pun kebiasaannya, kena ada modal untuk kita mulakan untuk beli stok, lepas itu jual dan tambah stok.
"Tetapi pendekatan ini agak berbeza. Kak Yan memang banyak membantu, saya rasa tanpa bantuan Kak Yan, sehingga hari ini, perniagaan kami belum dapat wujud lagi," katanya.
Menurut Yani, impiannya bukan mengejar kemewahan tetapi memberi balik kepada masyarakat menerusi kepakarannya dalam bidang berkenaan.
"Saya sudah berniat dah di dalam hati cukup lah kita dah berumur 54 tahun jadi dah akhir kehidupan. Cukuplah apa yang ada saya punya 'target' bukan nak mewah.
"Sebab kita dah kita lalui semua itu dan sekarang kita ingin melakukan sesuatu yang berkesan untuk kita tinggalkan sebelum akhir hayat," katanya.
Yani juga kini sedang giat membantu pembatik kecil Kelantan di bawah badan kerajaan negeri Kelantan, KALA dan bakal memperkenalkan batik tersebut di Indonesian Fashion Week bulan hadapan dan seterusnya ke Pertunjukan Fesyen Islam di London pada bulan April nanti.
"Sebab duit permulaan saya adalah dari duit pemberian orang. Jadi kini masanya saya memberikan kembali kepada mereka yang memerlukan," katanya lagi.