'Yang penting mesej, bukan huruf atau bahasa'

Astro Awani
Januari 24, 2020 09:14 MYT
Turut disertakan ialah ucapan menggunakan tulisan jawi, malah Hussamuddin juga menulis namanya dalam kaligrafi Cina.
Pengasas kempen 'Uninstall Kebencian, Reboot #MalaysiaHarmoni', Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, menyampaikan mesej penyatuan menerusi sekeping kad ucapan Tahun Baru Cina yang ditulis menggunakan beberapa bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.
Lebih menarik, turut disertakan ialah ucapan menggunakan tulisan jawi, malah Hussamuddin juga menulis namanya dalam kaligrafi Cina.
"Perbezaan dari segi huruf tidak akan memberi perubahan pada maknanya.
"Menulis nama saya dalam bahasa Cina tidak akan menjadikan saya seorang Cina.
"Begitu juga menulis dalam tulisan Jawi tidak akan membuatkan seorang bukan Muslim menjadi Muslim," kata beliau seperti yang dipetik The Star.
Beliau menyeru kumpulan badan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan pendakwah supaya tidak memecah-belahkan rakyat Malaysia dengan sentimen tidak sihat.
Hussamuddin yang juga Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, menyeru media serta pihak sekolah untuk terus mempromosikan inisiatif yang bertujuan menyingkirkan kebencian.
"Kita perlu mengatasi faktor ketakutan yang berkaitan dengan 13 Mei.
"Kita perlu menghentikan tindak-tanduk sebilangan kecil pendakwah agama yang mahu menanam rasa benci kepada masyarakat minoriti, sedangkan majoriti kita meraikan kepelbagaian dalam perpaduan.
"Ini boleh dicapai dengan memahami rukun negara dan rasa hormat antara satu sama lain," tambah beliau.
#Cina #Hussamuddin Yaacub #JAWI #kad ucapan #Malaysia #Melayu #perpaduan #Tahun Baru Cina #Tamil
;