Yang Dipertua Pas Langkawi dipilih jadi Speaker DUN Kedah

Bernama
September 25, 2023 10:45 MYT
Yang Dipertua Pas Langkawi, Zubir Ahmad hari ini dipilih menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang Ke-15 pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Ke-15 yang berlangsung di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
ALOR SETAR: Yang Dipertua Pas Langkawi, Zubir Ahmad hari ini dipilih menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang Ke-15 pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Ke-15 yang berlangsung di Wisma Darul Aman, di sini.
Menteri Besar Kedah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan Zubir, 60, yang kemudian disokong ADUN Merbau Pulas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Datuk Siti Ashah Ghazali.
Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Mohamad Azlee Ahmad memaklumkan disebabkan hanya seorang calon Speaker dikemukakan dan bagi mematuhi Peraturan 4 (5) Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN Kedah, maka Zubir diisytiharkan menjadi Speaker DUN Kedah Ke-15.
"...oleh kerana seorang calon saja dikemukakan dan bagi mematuhi Peraturan 4 (5) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah, maka saya dengan ini mengisytiharkan YB Encik Zubir Ahmad dipilih menjadi Speaker DUN Kedah yang ke-15 ini," katanya.
Sementara itu, selepas sesi angkat sumpah oleh semua 36 ADUN pada persidangan DUN Kedah itu, ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dipilih menjadi Timbalan Speaker DUN selepas dicadangkan Muhammad Sanusi dan kemudian disokong ADUN Kuala Ketil Mejar (B) Mansor Zakaria.
Persidangan DUN Kedah itu kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak. - BERNAMA
#Yang Dipertua Pas Langkawi #Speaker DUN Kedah #Zubir Ahmad #Muhammad Sanusi Md Nor
;