Yang Dipertua Dewan Rakyat hadiri ASEAN-AIPA KE-44 di Indonesia

Bernama
Mei 5, 2023 18:36 MYT
Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul akan menghadiri Mesyuarat Bersemuka Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (ASEAN-AIPA) ke-44 di Labuan Bajo, Indonesia pada esok hingga 12 Mei. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul akan menghadiri Mesyuarat Bersemuka Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (ASEAN-AIPA) ke-44 di Labuan Bajo, Indonesia pada esok hingga 12 Mei.
Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat berkenaan yang merupakan platform penting untuk dialog dan kerjasama antara pemimpin ASEAN dan Ahli Parlimen ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN.
"Mesyuarat tahun ini akan dipengerusikan oleh Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia, Maharani Nakshatra Kusyala Devi yang juga Speaker wanita pertama dalam sejarah negara itu.
"ASEAN-AIPA adalah sebuah wadah untuk Ahli Parlimen ASEAN saling bertukar pandangan berkaitan pelbagai isu ekonomi, sosial dan politik serta merangka strategi untuk menanganinya. Selain itu, ASEAN-AIPA juga platform untuk mengiktiraf peranan AIPA dalam mendukung usaha menggalakkan kestabilan dan kemakmuran negara-negara ASEAN," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penglibatan Parlimen Malaysia dalam ASEAN-AIPA Ke-44 akan menguatkan kerjasama antarabangsa dan multilateralisme lebih-lebih lagi pembangunan dialog yang aktif untuk menyelesaikan isu-isu kritikal di ASEAN yang semakin meruncing.
Johari dalam kenyataan itu berkata penyertaan Malaysia dalam ASEAN-AIPA mencerminkan tekad negara yang tinggi untuk mencapai jalinan kerjasama bersama negara anggota ASEAN dalam meningkatkan kebertanggungjawaban.
Selain itu, merangka dasar-dasar yang komprehensif, memacu lebih banyak usaha penglibatan awam dan mengukuhkan kerjasama serantau bagi membangun masyarakat ASEAN yang lebih ampuh, berdaya saing dan makmur.
Johari turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Wakil Presiden Republik Indonesia Ma'ruf Amin dan Maharani.
-- BERNAMA
#Yang Dipertua Dewan Rakyat #Johari Abdul #ASEAN-AIPA #Perhimpunan Antara Parlimen
;