Yang Dipertua arah Abdul Azeez mohon maaf isu 'gelap'

Bernama
Julai 14, 2020 12:08 MYT
Azhar turut meminta dan mengingatkan semua ahli Dewan Rakyat agar tidak menggunakan perkataan kesat, berbaur perkauman serta seksis. - Gambar fail
Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu Datuk Azhar Azizan Harun membuka persidangan Dewan Rakyat hari ini dengan mengarahkan Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memohon maaf susulan kenyataan beliau mengenai isu 'gelap' dan 'bedak' semalam.
Kejadian itu berlaku ketika Abdul Azeez mengungkapkan ayat 'gelap tak nampak' ketika Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) bangun mencelah mempersoalkan mengenai ketiadaan wanita sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih yang dicadangkan dalam usul berkenaan semalam.
"Saya telah meneliti hansard tersebut dan mengambil keputusan bahawa perkataan tersebut adalah offensive (bersifat menghina) dan saya ingin meminta Yang Berhormat Baling memohon maaf dan menarik balik perkataan tersebut," katanya.
Akur dengan arahan Yang Dipertua, Abdul Azeez bangun lantas membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan itu namun menjelaskan bahawa beliau sama sekali tidak berniat memanggil sesiapa 'gelap'.
"Dua tahun saya duduk di situ, sememangnya kawasan itu gelap dan kami selalu tidak dapat perhatian speaker.
"Saya kata 'gelap tak nampak' maksud saya kawasan itu gelap. Bagi saya penting rakyat tahu bahawa saya tidak sama sekali berniat memanggil sesiapa gelap kerana diri saya sendiri Allah SWT takdirkan gelap jadi tak ada sebab saya nak cakap begitu," katanya.
Yang Dipertua selepas itu turut meminta dan mengingatkan semua ahli dewan agar tidak menggunakan perkataan kesat, berbaur perkauman serta seksis.
Kasthuriraani, yang bangun dan mengucapkan terima kasih kepada Yang Dipertua atas ketegasan dan membuat keputusan berkenaan, namun tetap dengan pendiriannya bahawa perkataan itu sepatutnya tidak dikeluarkan kerana ia bersifat sangat seksis dan rasis.
"Pada pandangan saya dan ramai Ahli Parlimen di sini berpendapat perkara tersebut walau apa pun alasan diberikan Yang Berhormat Baling, tidak perlu dikeluarkan dan disebut, sebab kita faham niat di sebalik kenyataan tersebut bukanlah semata-mata mengatakan tempat ini gelap," katanya.
BACA: Sikap rasis, seksis: Wanita PKR kecam Abdul Azeez
Mengambil maklum hujah Kasthuriraani, Azhar menyatakan bahawa perkara itu sudah selesai memandangkan beliau telah mengarahkan Abdul Azeez untuk meminta maaf dan mahu meneruskan ke agenda Aturan Mesyuarat seterusnya.
Ahli Parlimen Batu Kawan itu yang bertegas dengan hujahnya, bingkas bangun dengan mendakwa sebenarnya ramai lagi Ahli Parlimen wanita menjadi mangsa kata-kata kesat Ahli Parlimen Baling itu dan memohon satu tindakan tegas dikenakan.
"Sekadar menarik balik dan mohon maaf Baling (Ahli Parlimen) dah buat banyak kali... masih tidak bertaubat lagi. Yang Berhormat Baling adalah a repeat offender," katanya.
Azhar, yang tidak mahu memanjangkan perkara itu, berkata beliau akan mengambil tindakan lebih tegas jika insiden seumpamanya berlaku dan sekali lagi mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya menjaga adab dan sopan.
-- BERNAMA
#Abdul Azeez Abdul Rahim #ahli Parlimen #Azhar Azizan Harun #Baling #batu kawan #Dewan Rakyat #gelap #Kasthuriraani Patto #kata-kata kesat #Maaf #mangsa #menghina #taubat #wanita
;