Yang di-Pertuan Agong zahir ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat Malaysia ke-88

Bernama
Mac 1, 2021 10:58 MYT
Semoga angkatan Tentera Darat terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat Malaysia ke-88 kepada seluruh warga angkatan Tentera Darat, termasuk veteran dan semua yang pernah berkhidmat.
Istana Negara dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook menyatakan Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota angkatan Tentera Darat, khususnya yang bertugas di barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan dalam membantu kerajaan memerangi penularan wabak COVID-19.
Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para perwira dan anggota Tentera Darat yang telah terkorban semasa bertugas.
Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, baginda turut menyanjung tinggi jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota Tentera Darat dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.
"Semoga angkatan Tentera Darat terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa," titah baginda.
-- BERNAMA
#tentera darat #Yang di-Pertuan Agong #Facebook #tentera #Hari Tentera Darat Malaysia #kerajaan #Angkatan Tentera Malaysia #COVID-19 #Malaysia #keluarga #keselamatan #barisan hadapan
;