Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong berangkat ke UAE sempena COP28

Kenyataan Media
November 29, 2023 18:46 MYT
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua adalah sempena dengan Persidangan Perubahan Iklim PBB (CPOP28) UAE yang berlangsung dari 30 November hingga 12 Disember 2023 di Dubai. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melakukan lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 29 November hingga 4 Disember 2023.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua adalah sempena dengan Persidangan Perubahan Iklim PBB (CPOP28) UAE yang berlangsung dari 30 November hingga 12 Disember 2023 di Dubai.
Seri Paduka Baginda berdua diriingi oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah selain Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Seri Paduka dijadualkan berangkat menghadiri World Climate Action Summit dan sesi Dialog Ketua Negara dan Kerajaan.
Baginda juga berkenan untuk melancarkan Pavilion Malaysia dan menyaksikan upacara pertukaran dokumen yang melibatkan syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat asing di COP28.
Al Sultan Abdullah juga berkenan untuk menganugerahkan anugerah kehormatan tertinggi kepada Presiden UAE dan pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Seri Paduka Baginda dan Presiden UAE itu turut akan menyaksikan upacara pertukaran dokumen berkenaan pelaburan ASD8 billion oleh Masdar dalam bidang tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Ini adalah susulan penandatanganan memorandum persefahaman (MOU) oleh MIDA dan Masdar yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kunjungan ke UAE pada awal Oktober lalu.
UAE merupakan rakan dagang, destinasi eksport dan sumber import kedua terbesar Malaysia di rantau Asia Barat.
Malaysia dan UAE mencatatkan jumlah dagangan sebanyak RM38.73 bilion (ASD8.79 bilion) pada tahun 2022, peningkatan sebanyak 73.5% dari RM22.23 bilion (ASD5.39 bilion) yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
#Yang di-Pertuan Agong #UAE #COP28 #Persidangan Perubahan Iklim PBB
;