Yang di-Pertuan Agong puas hati persiapan sambutan Hari Kebangsaan - Fahmi

Irfan Faruqi
Ogos 28, 2024 16:31 MYT
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melakukan tinjauan persiapan menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada raptai Hari Kedua Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berpuas hati dengan persiapan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata tidak ada sebarang perkara luar jangka berkemungkinan berlaku.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan raptai lintasan udara akan bermula pada Khamis dan langkah-langkah menambahbaik sambungan internet di kawasan perarakan juga giat dijalankan.
Menurutnya, raptai lintasan udara oleh aset-aset udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan keselamatan lain akan diadakan bermula seawal 9.30 pagi Khamis melibatkan ruang udara Putrajaya dan sekitarnya, sebagai persiapan sambutan Hari Kebangsaan pada Sabtu.
“Sekitar 9.30 pagi atau 10 pagi kita akan ada lintasan udara yang akan melalui ruang udara Putrajaya. Pada hari kejadian kita akan tutup pulau utama. Maka, kenderaan peribadi tidak boleh masuk ke pulau utama.
“Kita perlu letakkan kenderaan di tempat-tempat yang dikenalpasti dan mengambil perkhidmatan pengangkutan awam; bas dan kemudahan lain yang diumumkan oleh Perbadanan Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Mingguan Menteri Komunikasi dan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata dianggarkan 200,000 orang akan dapat merasai kemeriahan sambutan hari kebangsaan ke-67 tahun ini.
[LIVE] Sidang Media Mingguan dan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 | 28 Ogos 2024
#Hari Kebangsaan #Fahmi Fadzil #Hari Malaysia #Putrajaya #Sultan Ibrahim #ATM #TUDM