Yang Di-Pertuan Agong, Permaisuri berangkat tiba di Sarawak

Bernama
April 21, 2022 15:22 MYT
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini bagi memulakan lawatan dua hari ke Sarawak. - Gambar BERNAMA
KUCHING: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini bagi memulakan lawatan dua hari ke Sarawak.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua menggunakan pesawat khas kira-kira pukul 12.20 tengah hari tadi disambut kenamaan utama negeri diketuai Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar; ketiga-tiga Timbalan Premier - Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian - serta barisan Kabinet negeri turut hadir bagi upacara sambutan ketibaan itu.
Pada sebelah petang ini, Seri Paduka berdua dijangka berkenan berangkat mengunjungi Bazar Ramadan Satok di sini sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Santapan Malam di Masjid Jamek Negeri di sini.
Pada majlis itu nanti, Seri Paduka berdua akan berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan kepada 30 penerima. - BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #Raja Permaisuri Agong #lawatan ke Sarawak #majlis berbuka puasa
;