YAN sasar lahir 300 doktor dalam tempoh lima tahun
Bernama
November 30, 2022 12:30 MYT
November 30, 2022 12:30 MYT
MELAKA: Yayasan Angkasawan Negara (YAN) menyasarkan melahirkan kira-kira 300 doktor dalam kalangan pelajar B40 dan asnaf menerusi Program Satu Keluarga Satu Profesional, dalam tempoh lima tahun akan datang.
Timbalan Presidennya Datuk Shahrul Nizam Yunos berkata program itu adalah inisiatif yayasan berkenaan dan Kolej Universiti Manipal Malaysia (MUCM) dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA).
"Program Satu Keluarga Satu Profesional itu, pelajar yang layak akan menerima pinjaman boleh ubah bagi membiayai yuran pengajian dalam bidang perubatan atau pergigian di MUCM selain menerima elaun bulanan bagi meringankan beban mereka.
"Program ini memberi fokus kepada pelajar Melayu dan bumiputera dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan dan ingin melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan atau pergigian," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan di sini pada Selasa.
Pada majlis itu, sebanyak 17 pelajar bidang perubatan dan pergigian di MUCM menerima surat kelulusan program tajaan pengajian tinggi yang turut dihadiri Naib Canselor MUCM Prof Dr Patrick Kee Peng Kong.
Shahrul Nizam berkata pelajar bidang perubatan atau pergigian yang memperoleh pinjaman berkenaan dan berjaya lulus pengajian dalam tempoh lima tahun tidak perlu membayar semula pembiayaan tersebut.
Beliau berkata YAN juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan pertubuhan anak yatim di seluruh negara untuk mendapatkan data terkini berkaitan pelajar cemerlang dalam kalangan golongan berkenaan yang ingin menjadi doktor.
Katanya Program Satu Keluarga Satu Profesional juga akan diperluas dalam bidang profesional lain pada masa akan datang dalam usaha melahirkan lebih ramai golongan profesional di negara ini.
Sementara itu, pelajar tahun satu bidang perubatan Faziatul Dayana Sharudin, 19, berkata beliau bersyukur memperoleh pinjaman berkenaan kerana ia dapat mengurangkan beban keluarga untuk menanggung kos pengajian yang agak tinggi.
"Ayah saya seorang pesara tentera dan ibu pula suri rumah... apabila mendapat pinjaman pengajian ini, sekurang-kurangnya saya tidak perlu untuk memikirkan tentang yuran pengajian dalam tempoh lima tahun ini dan saya juga mendapat elaun bulanan sebanyak RM870 serta pelbagai kos lain turut ditanggung seperti penginapan.
"Jadi, saya dapat memberikan tumpuan penuh pada pembelajaran dan berusaha untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang agar tidak perlu membayar semula pinjaman tersebut," kata anak bongsu daripada lima adik-beradik itu.
-- BERNAMA
#Yayasan Angkasawan Negara
#Yan
#300 doktor dalam kalangan pelajar B40 dan asnaf
#Program Satu Keluarga Satu Profesional