Yakinlah, negara berada dalam tangan pimpinan yang tepat - PM Najib

Israr Khalid
November 15, 2017 23:18 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melambaikan tangan kepada orang ramai pada pelancaran Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka malam ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Malaysia seluruhnya tetap yakin dengan kerajaan sedia ada.
Tegasnya, dengan segala pembangunan infrastruktur yang telah dibina dan setiap perancangan yang sedang diusahakan, rakyat boleh optimis bahawa negara berada dalam tangan pimpinan yang tepat untuk terus mencipta kemajuan dan kesejahteraan.
Ujar beliau, ia bukan sekadar omong kosong, malah kerajaan berpijak pada bumi yang nyata dan manfaat daripada setiap usaha kerajaan yang telah terlaksana boleh dilihat serta dirasai sendiri seluruh rakyat
“Dulu masa kita nak buat MRT, ramai yang bantah dan protes projek tersebut. Hari ini ramai yang akui dan berpuas hati dengan kemudahan itu, malah ada yang sesal kerana berhampiran kediaman atau premis perniagaan mereka tiada laluan MRT.
“Malah saya difahamkan peniaga sate di Kajang juga, perniagaan mereka melonjak semenjak beroperasinya MRT,” katanya ketika berucap merasmikan Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Oleh itu beliau mahu rakyat sedar bahawa kerajaan mempunyai perancangan, ia kemudian dilaksanakan dengan baik dan akan terus merancang lebih banyak perkara demi rakyat.
Menurut Najib, itulah matlamat penganjuran ekspo tersebut di mana rakyat boleh melihat dan merasai sendiri dengan lebih dekat kemampuan kerajaan untuk terus memacu negara di landasan yang tepat.
“Pendek kata, your future is in good hands (masa depan anda terjamin). Ini yang saya nak beritahu. Tak payah pandang kiri, tak payah pandang kanan, tak payah termakan janji apatah lagi hasutan kebencian yang ditabur pihak berkenaan.
“Berpegang paut pada apa yang ada hari ini, insya-Allah kita akan bawa kepada masa depan untuk Malaysia harum di persada antarabangsa,” ujarnya.
Ekspo yang berlangsung selama sebulan hingga 15 Disember itu mengetengahkan setiap pembangunan yang telah dibina serta perancangan negara untuk masa hadapan menerusi pameran interaktif.
#Dataran Merdeka #Expo Negaraku #Malaysia #MRT #Najib Razak #Perdana Menteri #pimpinan #sate Kajang
;