#YakiniVaksin: Kempen tangani mitos, salah faham vaksin COVID-19

Astro Awani
April 13, 2021 14:24 MYT
Inisiatif itu dilaksanakan selepas rakyat sering dimomok oleh pelbagai mitos, teori konspirasi dan salah faham yang tersebar meluas tanpa tapisan terutama di media sosial. - Foto @SMCmy
KUALA LUMPUR: Science Media Centre (SMC) Malaysia dan surat khabar sains, The Petri Dish melancarkan kempen #YakiniVaksin sebagai kempen kesedaran yang bertujuan melawan mitos dan salah faham tentang vaksin COVID-19.
Pengasas bersama SMC Malaysia, Tan Su Lin berkata inisiatif itu dilaksanakan selepas rakyat sering dimomok oleh pelbagai mitos, teori konspirasi dan salah faham yang tersebar meluas tanpa tapisan terutama di media sosial.
Sekali gus katanya, ia telah menyebabkan tahap kepercayaan sebahagian rakyat terhadap vaksin COVID-19 rendah.
"Kelajuan perkembangan proses penghasilan vaksin COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini serta lambakan salah maklumat di media sosial telah mendorong kesangsian sesetengah masyarakat terhadap vaksin ini.
"Ketika dunia memerangi wabak COVID-19, usaha memerangi salah fakta adalah cukup kritikal.
"Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memperkasakan tahap kesedaran orang ramai untuk membezakan antara fakta daripada berita palsu dalam hal pengambilan vaksin COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.
Kempen itu disokong syarikat farmaseutikal Malaysia, Duopharma Biotech Berhad sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.
Melalui #YakiniVaksin, ujarnya penjelasan pakar mengenai vaksin COVID-19 akan dikumpul dan disampaikan melalui pelbagai format seperti penganjuran webinar, penulisan artikel, lembaran fakta dan infografik bagi menangkis beberapa salah faham yang lazim untuk membantu orang awam memahami vaksin itu dengan lebih baik.
Selain itu, semua maklumat akan dikemaskini dalam bahasa yang mudah difahami.
Ketua Pengarang The Petri Dish, Dr Mahaletchumy Arujanan berkata, sebagai satu-satunya media sains di Malaysia, pihaknya berasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai vaksin dan menyokong program vaksinasi terbesar dan yang paling kritikal dalam sejarah Malaysia.
"Tahap literasi sains dalam kalangan rakyat Malaysia adalah masih rendah sehingga ia menimbulkan bantahan atau kritikan terhadap sains. Ini pasti memberi kesan berganda dan akan menggagalkan inisiatif kita semua untuk bebas daripada wabak ini.
"Justeru, kami sangat berbesar hati kerana mendapat sokongan daripada syarikat Duopharma yang turut menyokong kempen #YakiniVaksin," kata Dr Mahaletchumy.
Kempen #YakiniVaksin bermula minggu lalu dengan webinar bertajuk ‘Kenali Vaksin COVID-19’ di mana dua pakar telah dijemput untuk memperjelaskan tentang beberapa salah fakta yang tular mengenai vaksin COVID-19 dalam Bahasa Malaysia.
Mereka adalah pakar imunologi, Prof Dr Norazmi Mohd Nor, dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar epidemiologi, Prof Madya Dr Malina Osman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) .
#COVID-19 #program vaksinasi #media sosial #kesihatan #vaksin #Science Media Centre #The Petri Dish #Duopharma Biotech Berhad
;