Yakin Kerajaan Perpaduan komited bantu Bumiputera Sabah - Hajiji Noor

Faida Rahim
Mac 2, 2024 17:50 MYT
Hajiji berkata Sabah tidak lagi mahu ketinggalan, bahkan sentiasa berharap agar kek kemakmuran dapat dikongsi bersama dalam satu keluarga besar Malaysia. - Bernama
PUTRAJAYA: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menaruh harapan yang tinggi bahawa kepimpinan Kerajaan Perpaduan komited untuk terus membela nasib kaum Bumiputera seluruh negara termasuk di Sabah.
Menurut beliau, Sabah sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, dengan bilangan Bumiputera mencecah sehingga 90 peratus daripada jumlah penduduknya, mempunyai aspirasi tinggi bersama rakyat Malaysia menikmati kemakmuran dan kemajuan ekonomi negara.
"Seperti yang kita sedia maklum, faktor geografi merupakan salah satu halangan yang melambatkan proses pembangunan dan hal ini berlaku di Sabah.
"Ia bukan saja menghambat pertumbuhan ekonomi dan melewatkan proses pembangunan, tetapi juga membatasi aktiviti perekonomian serta sosial masyarakat Bumiputera, terutama di pedalaman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Sabtu.
Beliau juga percaya dengan memperkasa ekonomi Bumiputera di Sabah akan membolehkan mereka mampu untuk bersaing di peringkat nasional kalau pun tidak di pentas global.
Ini melalui penyediaan latihan, pendidikan berkualiti, peningkatan literasi digital dan kewangan,serta melengkapi kemahiran yang diperlukan, di samping kemudahan infrastruktur sebagai keperluan asas.
Beliau berkata, kerajaan negeri beriltizam untuk menutup rapat jurang kemiskinan yang telah lama menyelubungi ramai Bumiputera di Sabah dan bertekad membawa perubahan kepada kehidupan rakyat yang dahagakan pembelaan, khususnya yang berada jauh di pedalaman.
"Kami tidak lagi mahu ketinggalan, bahkan kami sentiasa berharap agar kek kemakmuran dapat dikongsi bersama dalam satu keluarga besar Malaysia.
"Jangan kita jadikan Laut China Selatan itu sebagai pemisah atau penghalang kepada kemajuan dan kesejahteraan bersama," katanya.
#Bumiputera #Kerajaan Perpaduan #Hajiji Noor #Putrajaya #Bumiputera Sabah
;