YAKEB bayar dana lebih RM2.1 juta bantu bekas atlet negara
Anthea Yap
Oktober 3, 2015 23:49 MYT
Oktober 3, 2015 23:49 MYT
Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) telah mengagihkan dana lebih RM2.1 juta bagi menguruskan kos perubatan bekas atlet negara untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh berkata pemberian dana bantuan itu bertujuan meringankan bebanan atlet yang mempunyai masalah kesihatan termasuk sakit kronik.
Menurut Jamil, atlet yang berdaftar dengan YAKEB berpeluang menerima bantuan kebajikan termasuk pembayaran kos rawatan perubatan serta bantuan kewangan untuk ahli keluarga yang tidak berupaya untuk berkerja akibat daripada masalah kesihatan.
Setakat ini, 2,500 ahlinya di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak berdaftar dengan YAKEB.
"Setakat ini saya rasa kita tidak ketinggalan membantu kesemua ahli dan tidak memilih bulu. Kalau ada orang mengatakan tidak menerima bantuan daripada kerajaan, khususnya YAKEB, bagi saya ini bukanlah satu perkara yang benar sebab kita telah pun memberi bantuan ini sejak penubuhan YAKEB 2007," katanya ketika ditemui di kediaman bekas jaguh basikal, Ng Joo Pong di Shah Alam.
Beliau yang juga pengerusi YAKEB berkata kerajaan telah memperuntukkan RM2.5 juta setahun bagi membiayai keperluan bekas atlet di negara ini.
Jamil berkata demikian ketika menyerahkan kerusi roda kepada bekas jaguh basikal 60-an Ng Joo Pong, 70, yang kini menghidap penyakit angin ahmar, di kediamannya.
YAKEB turut membayar kos rawatan perubatannya RM20,000 di pusat hospital pakar bagi membantu Joo Pong yang tidak lagi mampu bekerja.
Joo Pong yang mempunyai seorang isteri dan seorang anak pernah mewakili negara dalam perlumbaan basikal di peringkat antarabangsa dengan memenangi pingat emas dan gangsa sejak tahun 1963.
"YAKEB pun sudah tolong tapi saya minta orang lain minta sedikit pun sudah mencukupi bagi menambah sedikit kewangan anak saya untuk mendapat perubatan saya.
"Memang YAKEB ada dan tanpa perdana menteri kita yang menyokong bekas atlet, YAKEB tak akan wujud," katanya ketika ditemui Astro AWANI di kediamannya.
Orang ramai yang ingin terus menghulurkan derma kepada keluarga ini boleh berbuat demikian di akaun Maybank Ng Joo Pong 114160845567 atau menghubungi talian 012-277 3553.