Yadim rancang perhimpunan lebih besar untuk Rohingya
Bernama
Disember 4, 2016 07:32 MYT
Disember 4, 2016 07:32 MYT
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata satu perhimpunan lebih besar dirancang bagi menzahirkan solidariti rakyat Malaysia terhadap kekejaman ke atas etnik Islam Rohingya di Myanmar.
Pengerusinya, Datuk Dr Yusri Mohamad berkata Yadim, selaku penganjur Himpunan Solidariti Ummah untuk Etnik Rohingya di sini pada Ahad, berharap perhimpunan berkenaan dapat dihadiri oleh lebih ramai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama di lokasi lebih besar.
"Himpunan kali ini kita buat jemputan terbuka namun dengan agak singkat masanya dan lokasi juga terhad," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan itu di Stadium Titiwangsa di sini.
Perhimpunan berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin UMNO, wakil lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan pelajar tahfiz.
Lebih 20,000 orang menghadiri perhimpunan tersebut termasuk etnik Islam Rohingya yang berada di negara ini.
Terdahulu, Yusri menyerahkan Deklarasi Solidariti Ummah untuk Rohingya mewakili rakyat Malaysia kepada Najib bagi diserahkan kepada kerajaan Myanmar.
Antara tuntutan deklarasi tersebut ialah mahu negara anggota ASEAN menegur kerajaan Myanmar atau sekurang-kurangnya menggantung keanggotaan negara itu dalam ASEAN, sehingga ia bersetuju menyelesaikan isu etnik Rohingya.
Selain itu, deklarasi juga mengutuk sekeras-sekerasnya tindakan kerajaan Myanmar yang menaja dan membiarkan jenayah kekejaman dan penghapusan kaum secara terancang terhadap masyarakat etnik Islam Rohingya.
Deklarasi itu juga menuntut agar pihak yang melakukan kekejaman itu didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Dalam pada itu, Yusri turut melahirkan rasa kesyukuran dan penghargaan terhadap komitmen perdana menteri yang menyokong perhimpunan berkenaan serta kepimpinan politik tanah air yang sanggup mengenepikan perbezaan demi membela umat Islam Rohingya. -- Bernama