"Ya tuhan, berikan aku kekuatan harungi fitnah ini" - Dr Maszlee
Afiq Ariffin
Januari 7, 2020 12:09 MYT
Januari 7, 2020 12:09 MYT
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menyangkal dakwaan kononnya beliau dipecat daripada menjadi Menteri Pendidikan disebabkan perancangan beliau untuk membuka semula King Salman Centre for International Peace (KSCIP) seperti yang tersebar.
Jelasnya, perkara berkenaan adalah fitnah semata-mata kerana perancangan mengenai KSCIP itu tiada kaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), semasa beliau mengendalikan kementerian itu.
“Ini adalah fitnah.
“Tidak pernah ada pun perancangan mengenai King Salman Centre for International Peace (KSCIP) semasa saya menjadi Menteri Pendidikan dahulu.
“Malah, apa kaitannya dengan KPM?,” soal Maszlee menerusi satu muat naik di laman Instagram pada tengahari Selasa.
Jelas Maszlee, segala gerak kerja beliau sering direkod dalam laporan kerja dan semua pihak boleh memeriksanya dengan pihak KPM.
Luah Maszlee lagi, beliau sudah tiada apa-apa jawatan dan bukannya seorang menteri lagi.
“Ya Tuhan. Berikan saya kekuatan untuk mengharungi fitnah ini.
“Saya sudah tiada jawatan apa-apa. Saya bukan lagi menteri. Saya hanya rakyat biasa," tulisnya lagi.
Tegasnya, beliau menggesa agar pihak media menyemak dahulu kesahihan berita sebelum disiarkan dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah terhadapnya.
“Saya mohon agar fitnah sebegini dihentikan segera oleh sesiapa sahaja dalangnya, dan saya merayu sangat-sangat agar media menyemak dahulu kesahihan berita sebelum disiarkan.
Keputusan Maszlee memuat naik kenyataan tersebut menerusi laman Instagram adalah bagi membidas dakwaan tidak benar yang dilapor oleh sebuah portal berita tempatan.
Dakwa portal berkenaan, pemecatan Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan adalah disebabkan rasa berang Perdana Menteri terhadap rancangan pembukaan semula pusat sokongan Arab Saudi itu.
Pada 2 Januari lalu, Maszlee dalam sidang media khas mengumumkan peletakan jawatannya juga menyebut bahawa beliau sering dilihat menyusahkan pimpinan atas beberapa isu seperti pengajaran tulisan Jawi, pembekalan perkhidmatan Internet di sekolah, dan program sarapan percuma di sekolah rendah.
#Dr Mahathir
#fitnah
#Kementerian Pendidikan
#King Salman Centre for International Peace
#Maszlee Malik
#menteri
#Najib Razak
#Pakatan Harapan
#pendidikan
#Perdana Menteri