'Ya Allah, janganlah perkara buruk berlaku pada Azri' - Bapa

Wan Syamsul Amly
Oktober 6, 2014 13:04 MYT
Bapa Azri, Bakar Hassan kini dalam perjalanan ke KLIA untuk ke Sabah mengakui masih belum menerima sebarang perkembangan terkini dari pihak TLDM. - Foto Astro AWANI
Bapa salah seorang anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), Lt. Azri Bakar berdoa dan berharap tidak ada perkara buruk menimpa anaknya yang hilang sejak pagi Ahad di Sabah.
Bapa Azri, Bakar Hassan kini dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Sabah mengakui masih belum menerima sebarang perkembangan terkini daripada pihak TLDM.
"Saya diminta untuk ke Sabah, banyak maklumat dan perkembangan saya perolehi daripada Astro AWANI, ya Allah...janganlah perkara buruk berlaku padanya.
"Kita tidak tahu cerita apakah dia selamat atau tidak. Saya dan isteri sekarang dalam perjalanan ke KLIA. Kami akan ke Sabah untuk menunggu di sana," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada Ahad, bot tempur CB204 milik TLDM hilang dalam cuaca buruk di perairan Sabah.
Bot tempur itu dilaporkan terputus hubungan ketika dalam perjalanan ke Gugusan Semarang Peninjau kira-kira pukul 1.05 petang pada hari berkenaan.
Pada pagi Isnin, TLDM membahagikan kawasan pencarian bot tempur CB204 bagi memudahkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op SAR) tujuh anggota kapal terbabit kepada empat sektor di sekitar perairan pantai barat Sabah, pagi ini.
Ujar Bakar lagi, dia memohon doa daripada seluruh rakyat negara ini untuk keselamatan anaknya selain anggota lain di dalam bot berkenaan.
Astro AWANI difahamkan Bakar tinggal di Ampang selain isteri Azri bertugas di tempat yang sama dengan suaminya kini sedang sarat mengandung.
Panggilan Astro AWANI bagaimanapun terputus sebelum wartawan meneruskan pertanyaan tambahan kepada Bakar.
#Bakar Hassan #bapa #CB204 #KLIA #Lt.Azri Bakar #TLDM
;