Xpats Gateway: Permohonan pas penggajian ekspatriat lebih efisien, mudah dan singkat - KDN
Bernama
Julai 25, 2023 13:14 MYT
Julai 25, 2023 13:14 MYT
KUALA LUMPUR: Xpats Gateway yang dilancarkan pada 15 Jun lepas, merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam urusan permohonan pas penggajian ekspatriat, supaya menjadi lebih efisien, mudah dan mengambil masa yang lebih singkat.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Abdul Gapar Abu Bakar berkata ia mengumpulkan agensi pelulus dan agensi kawal selia berkaitan penggajian ekspatriat di bawah satu platform, dan menyediakan proses end-to-end yang lebih berkesan dan cepat.
Beliau berkata syarikat yang menggaji ekspatriat, boleh mengakses Xpats Gateway di laman web esd.imi.gov.my, untuk mendapatkan surat sokongan daripada agensi terlibat dan seterusnya mendapatkan kelulusan pas penggajian ekspatriat melalui platform yang sama.
"Permohonan ekspatriat akan dibahagikan kepada dua laluan iaitu laluan pantas, yang akan mengambil masa selama lima hari bekerja dan laluan biasa, yang akan mengambil masa 15 hari bekerja, bermula daripada permohonan lengkap diterima di sistem sehingga keputusan permohonan diberikan dan pas penggajian dikeluarkan.
"Sebelum ini, syarikat perlu mengemukakan permohonan kepada agensi kawal selia masing-masing mengikut sektor terlebih dahulu, bagi mendapatkan surat sokongan, sebelum mengemukakan permohonan selanjutnya kepada agensi pelulus untuk mendapatkan kelulusan ekspatriat, yang mengambil masa antara dua hingga empat bulan untuk diluluskan," katanya semasa temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Abdul Gapar berkata syarikat yang memohon akan dikategorikan berdasarkan sistem bertingkat, di mana syarikat yang mempunyai reputasi yang baik, terkemuka, mempunyai modal yang tinggi dan tidak mempunyai sebarang kesalahan di bawah mana-mana akta, akan diletakkan di Tier 1 dan 2, yang akan mendapat laluan pantas.
"Selain itu, sektor yang dikategorikan oleh agensi pelulus/agensi kawal selia sebagai kritikal yang dinilai berdasarkan projek syarikat, nilai pelaburan, kemahiran dan teknologi niche, dan industri baharu juga akan melalui laluan pantas, manakala syarikat selain daripada itu akan melalui laluan biasa," katanya.
Abdul Gapar berkata inisiatif itu, merupakan komitmen kolektif dari pelbagai kementerian dan agensi yang diketuai oleh Kementerian Ekonomi dan diselaraskan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
"Inisiatif Xpats Gateway ini merupakan komitmen kerajaan, dalam mendigitalisasikan perkhidmatan awam yang dalam masa yang sama memudahkan urusan pihak industri, dalam menjalankan perniagaan.
"KDN bertanggungjawab dalam dasar berkaitan ekspatriat dan Jabatan Imigresen, bertanggungjawab dalam pengeluaran pas kepada ekspatriat bersama-sama kementerian dan agensi lain, terlibat sebagai pihak berkepentingan dalam inisiatif ini," katanya.
Abdul Gapar berkata semua proses manual yang dipraktiskan sebelum ini, telah digantikan dengan sistem dalam talian, yang mana banyak penjimatan boleh dilakukan dari segi menjimatkan kertas dan masa, serta mengurangkan risiko keciciran dokumen dan sebagainya.
"Inisiatif ini juga sebenarnya meningkatkan proses ketelusan, kerana semua proses dilakukan secara dalam talian, yang mana hanya permohonan yang lengkap akan diproses dan dinilai, serta permohonan yang mendapat surat sokongan agensi sahaja akan ke peringkat seterusnya, iaitu mendapatkan kelulusan ekspatriat dan pas penggajian," katanya.
Abdul Gapar menjangkakan lebih banyak agensi yang akan terlibat dalam fasa kedua pelaksanaan Xpats Gateway itu, yang akan bermula pada 15 Ogos depan, yang akan melibatkan lebih banyak sektor mendapat manfaat.
"Saya berharap pelaksanaan ini dapat memenuhi keperluan dan kehendak pihak industri yang terlibat, dalam memudahkan urusan permohonan mendapatkan kelulusan kemasukan ekspatriat ke negara kita dan secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur asing untuk datang melabur di Malaysia.
"Kemasukan pelaburan asing ke dalam negara amat penting, bagi memulihkan kembali ekonomi negara pasca COVID-19 dan seterusnya membantu ekonomi tempatan, apabila banyak peluang pekerjaan bakal ditawarkan kepada rakyat negara ini," katanya.
-- BERNAMA