Xavier Justo mendakwa dirinya diperdaya

Astro Awani
September 4, 2015 12:48 MYT
Justo mengaku diperdaya untuk menjual data - Gambar fail
Bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo, yang dihukum penjara di Bangkok, Thailand atas sabitan memeras ugut bekas majikannya, mendakwa dirinya diperdaya pihak yang mahu menjatuhkan sesebuah kerajaan.
Justo juga berkata dia tidak tahu data milik PetroSaudi yang mahu dibeli oleh sekumpulan individu, sebenarnya berkait perjanjian melibatkan urus niaga bekas majikannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Saya bukan penyebar maklumat. Saya tidak tahu pembeli data mempunyai agenda politik. Saya tidak tahu yang mereka mahu menjatuhkan sebuah kerajaan. Saya rasa sangat bodoh," katanya dalam temubual eksklusif terbaharunya pada Selasa dengan akhbar The Straits Times di Singapura.
Jelasnya, dia hanya mahu menjual data dicuri selepas dijanjikan bayaran AS$2 juta (RM8.5 juta) oleh ahli perniagaan Malaysia.
Pada 24 Julai lalu, Justo dalam temubual dengan akhbar yang sama mendakwa dia dijanjikan bayaran AS$2 juta oleh seorang ahli perniagaan Malaysia untuk mendapatkan dokumen urus niaga berkaitan bekas majikannya dan 1MDB.
Pemilik kumpulan media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong, mengaku membuat tawaran tersebut kepada Justo, sebaik sahaja laporan temubual itu disiarkan.
Justo yang ditahan Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD), polis Thailand di Koh Samui, Surathani pada 22 Jun lalu memberitahu, persetujuan urusan jual beli dokumen itu dicapai dalam pertemuan dengan pembelinya di Singapura pada Februari lalu.
Penahanan warga Switzerland itu dibuat selepas PetroSaudi membuat laporan terhadap kegiatan peras ugut membabitkan wang 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta) apabila dia mengancam mendedahkan maklumat sulit perniagaan dicurinya jika permintaan tidak dipenuhi.
Dalam perkembangan yang sama, Justo yang kini menjalani hukuman penjara tiga tahun di Thailand mengesahkan bahawa dia akan memfailkan rayuan bagi memohon tempoh hukuman tersebut dikurangkan.
“Saya tidak menjangkakan (dikenakan hukuman penjara) tiga tahun,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, dia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Thailand untuk membolehkan hukuman penjara tersebut diringankan.
Sebelum ini, permintaan Polis Malaysia untuk menemubual Justo ditolak rakan sejawatan mereka dari Thailand.
#1MDB #Bangkok #JUSTO #najib #PetroSaudi #Straits Times
;