WWF puji komitmen kerajaan negeri Sabah
Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 19, 2020 20:22 MYT
November 19, 2020 20:22 MYT
KOTA KINABALU: Tabung Hidupan Liar (WWF)-Malaysia memuji komitmen kerajaan Sabah dalam usaha meneruskan dasar 30 peratus Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) di negeri itu menjelang 2025.
Menurut Ketua Pemuliharaan WWF-Malaysia di Sabah, Dr Robecca Jumin, badan dunia itu turut mengalu-alukan dan menyokong rancangan kerajaan negeri untuk memperbaiki pengurusan persekitarannya.
"Bagi pihak WWF-Malaysia, kami memuji usaha murni kerajaan negeri Sabah dalam perlindungan alam sekitar dan kami menyokong penuh dasar 30 peratus TPA di negeri ini.
"Pada masa sama kami juga ingin menggesa kerajaan negeri Sabah agar dapat memastikan 50 peratus tanah di negeri ini dilindungi dengan mengekalkan hutan simpan bagi membekalkan ekosistem yang mencukupi untuk kawasan perairan dan habitat flora dan fauna," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Penghargaan itu dibuat WWF-Malaysia susulan ucapan Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Juhar Mahiruddin ketika pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-16 minggu lalu.
Tun Juhar dalam ucapannya menyebut, kerajaan negeri Sabah komited untuk meneruskan dasar agar kawasan hutan yang mempunyai nilai biologi tinggi dijadikan TPA yang tidak kurang daripada 30 peratus keseluruhan keluasan negeri menjelang 2025.
Tambah Tun Juhar keluasan hutan yang diisytiharkan sebagai TPA mencapai 1.9 juta hektar atau 26 peratus dan pencapaian itu menjadikan Sabah sebagai negeri yang mempunyai kawasan TPA yang terbesar di Malaysia dengan 48 peratus hutan sihat serta tidak tercemar.
Mengulas lanjut Dr Rebecca turut memohon kerajaan negeri Sabah agar dapat menyeimbangkan aspirasi ekonomi tanpa mengabaikan aset semula jadi negeri itu seperti aset persekitaran, sistem sosial dan sumber budaya.
"Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Dasar Perubahan Iklim dan Biodiversiti Malaysia, keseimbangan pembangunan harus menjadi keutamaan kerajaan negeri Sabah.
"Ancaman banjir kilat, pencemaran udara, tanah runtuh, kekurangan bekalan air dan kebakaran hutan akan meningkat tanpa perlindungan alam sekitar yang sewajarnya.
"Kami di WWF telah melihat kesannya yang berlaku beberapa kali sebelum ini akibat faktor peningkatan populasi dan perubahan iklim," katanya.
#WWF
#Sabah
#Tabung Hidupan Liar
#Kawasan Perlindungan Sepenuhnya
#TPA
#WWF-Malaysia
#Dr Robecca Jumin