WWF Malaysia kecam pembunuhan kejam gajah pygmy
Hasimi Muhamad
Oktober 1, 2019 14:31 MYT
Oktober 1, 2019 14:31 MYT
Tabung Alam Sedunia (WWF-Malaysia) mengecam keras pembunuhan kejam gajah pygmy yang ditemukan mati di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, Tawau, dekat sini, baru-baru ini.
Menurut Pengurus Pemuliharaan Gajah WWF-Malaysia, Dr Cheryl Cheah, pihaknya menyokong penuh usaha Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama agensi penguatkuasaan lain untuk menyiasat dan membawa pelaku ke muka pengadilan.
“Kami menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut untuk tampil ke hadapan dan membantu siasatan.
“(Ini kerana) pada akhirnya, toleransi dan kesediaan untuk bersama menjadi sebahagian daripada kami adalah penting dalam memastikan gajah Borneo terus hidup,” demikian katanya dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI, hari ini.
Tegasnya, gajah pygmy Borneo berdepan ancaman kepupusan dengan populasi spesis tersebut ketika ini dianggarkan kurang 2,000 ekor di sekitar hutan Sabah.
Jelasnya, aktiviti pemburuan haram merupakan ancaman utama kepada kepupusan habitat haiwan tersebut.
Justeru itu, bagi mengesan kedudukan haiwan tersebut, Dr Cheryl berkata, sebanyak 20 ekor gajah pygmy Borneo telah dipasang dengan kolar satelit.
“Maklumat ini kemudian digunakan untuk menyediakan cadangan kepada kerajaan dan pemilik ladang mengenai perancangan guna tanah yang sewajarnya.
“Ia termasuklah pemasangan pagar elektrik dan penubuhan koridor (kawasan) hidupan liar yang dijangka dapat mengelakkan konflik antara haiwan tersebut dengan manusia,” ujarnya.
Pada Khamis lepas, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah pygmy di Sungai Udin,dan dipercayai mati antara tiga hingga empat hari.
Hasil bedah siasat mendapati lebih kurang 70 peluru ditemukan dalam badan gajah betina tersebut, yang dianggarkan berusia antara 11 hingga 12 tahun.
#Astro Awani
#gajah pygmy
#haram
#Jabatan Hidupan Liar
#kerajaan
#Malaysia
#mati
#pemburu haram
#siasatan
#Sungai Udin
#Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia
#Tawau
#WWF Malaysia