Wujudkan undang-undang mengenai pornografi kanak-kanak, kahwin bawah umur - Suhakam

Bernama
April 19, 2016 00:47 MYT
HASMY: Suruhanjaya menggesa Kerajaan mempertimbang untuk memperkenalkan peruntukan khusus di bawah Akta Kanak-Kanak atau Kanun Keseksaan bagi menangani isu pornografi kanak-kanak.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menggesa kerajaan memperkenalkan peruntukan khusus berkenaan pornografi kanak-kanak dan perkahwinan bawah umur.
Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata pada masa ini tiada undang-undang jenayah tertentu di negara ini untuk menampung secara holistik isu pornografi kanak-kanak, selain tiadanya peruntukan untuk melarang perkahwinan di bawah umur 18 tahun.
"Suruhanjaya menggesa Kerajaan mempertimbang untuk memperkenalkan peruntukan khusus di bawah Akta Kanak-Kanak atau Kanun Keseksaan bagi menangani isu pornografi kanak-kanak.
Ini mengambil kira obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Protokol Pilihan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Terhadap Penjualan, Pelacuran dan Pornografi Kanak-Kanak 2000, katanya.
"Suruhanjaya juga menggesa Kerajaan untuk meminda semua undang-undang tempatan supaya menaikkan umur sah berkahwin untuk semua orang kepada 18 tahun, selaras pematuhan Akta Kanak-Kanak yang mentakrifkan kanak-kanak adalah di bawah usia 18 tahun," katanya dalam kenyataan media, di sini.
Suhakam turut menyambut baik pindaan komprehensif Akta Kanak-Kanak 2001 yang antara lain menggantikan hukuman sebat terhadap kanak-kanak lelaki dengan khidmat masyarakat.
Bagaimanapun, Suruhanjaya itu menzahirkan rasa bimbang terhadap pengekalan hukuman rotan di sekolah yang terkandung dalam pindaan akta itu yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
"Hukuman sebat bukan sahaja merupakan hukuman yang kejam, tetapi juga melanggar hak kanak-kanak dan bercanggah dengan prinsip CRC.
"CRC menghendaki negara anggota melindungi kanak-kanak dari segi layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah," katanya.
#Akta Kanak-Kanak #Hasmy Agam #perkahwinan bawah umur #pornografi kanak-kanak #Suhakam