Wujudkan suasana yang galakkan pertuturan untuk kuasai sesuatu bahasa - Anas Zubedy

Israr Khalid
Mac 31, 2022 12:03 MYT
Dalam menguasai bahasa lain, bahasa kebangsaan perlu tetap dimartabatkan.
KUALA LUMPUR: Penguasaan sesuatu bahasa hanya dapat diperoleh dengan kekerapan menggunakannya dalam perbualan seharian.
Maka kata Pensyarah Adjung Taylor’s University, Anas Zubedy, setiap institusi di negara ini khususnya institusi pendidikan wajar menganjurkan kempen menggunakan bahasa Inggeris misalnya supaya ada satu ruang masa yang khusus untuk melatih kemahiran bahasa tersebut.
“Kita kena wujudkan platform atau batu loncatan supaya mereka harus berlatih menggunakan bahasa Inggeris.
“Pasal apa, kalau kita tak wujudkan peluang, bila orang berbahasa Inggeris, orang lain nanti mentertawakanya. Jadi kita wujudkan satu peluang di mana bila seseorang itu berbahasa Inggeris, orang lain tak boleh mengejeknya.”
Beliau memberi contoh di Pulau Pinang di mana sebahagian besar daripada rakyatnya mampu berbahasa Inggeris kerana wujud ekosistem yang majmuk menggalakkan mereka bercakap dalam bahasa Inggeris di samping bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda masing-masing.
Namun berdasarkan pemerhatiannya, perkara itu tidak berlaku negeri-negeri yang rakyatnya didapati kurang penguasaan terhadap bahasa tersebut.
“Sebenarnya yang kita daripada bandar ini bukan hanya kerana sekolah mubaligh atau tidak, contohnya di Pulau Pinang ada Sekolah Abdullah Munsyi, bukan sekolah mubaligh pun tapi mereka di sana boleh bercakap bahasa Inggeris.
“Pasal apa, memang ada sosialisasi di Pulau Pinang, ada peluang-peluang untuk bercakap dalam bahasa selain bahasa ibunda.
“Kalau di Kelantan, Terengganu atau Kedah di mana sekolah kita hampir 100 peratus anak Melayu, atau pergi ke sekolah Tamil di situ 100 peratus anak Tamil, jadi memang selalunya bila kita sesama kita takkan nak bercakap bahasa Inggeris, kan?”
Untuk ke arah itu, perlu ada dasar di setiap peringkat menetapkan satu tempoh khas, contohnya seminggu dalam satu bulan itu yang diwajibkan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.
“Ini bukan benda yang susah nak buat, kita boleh buat kempen-kempen, kami dah buat dengan banyak syarikat di mana kita wujudkan ‘English Week’, satu minggu.
“Jangan ‘English Day,’ satu hari tak cukup. Jadi orang tak malu.”
Tonton temu bual penuh bersama Anas dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:
Wujudkan suasana yang menggalakkan pertuturan untuk menguasai sesuatu bahasa - Anas Zubedy
Agenda AWANI: Kuasai Lebih Satu Bahasa, Bersaing Lebih Hebat
#Agenda Awani
;