Wujudkan skim khas untuk peminjam PTPTN - Ahmad Zahid

Hasimi Muhamad
Oktober 4, 2021 16:24 MYT
Ahmad Zahid berkata ia bagi memberi nafas baharu kepada kumpulan peminjam yang terjejas termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau masih belum mendapat pekerjaan - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewujudkan sebuah skim khas kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) berkata ia bagi memberi nafas baharu kepada kumpulan peminjam yang terjejas termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau masih belum mendapat pekerjaan.
Katanya, melalui penubuhan skim khas tersebut, satu jeda atau tempoh waktu yang lebih panjang dapat diberikan untuk peminjam membayar balik pinjaman pendidikan.
"Ini (skim khas) dapat diserapkan dalam pinjaman-pinjaman lain umpamanya (pinjaman) perumahan. Ini kerana, mereka merupakan keluarga muda yang akan memiliki rumah-rumah berkenaan.
"Dengan penyerapan pinjaman ini, ia mungkin satu langkah baharu yang dapat dilihat oleh kerajaan," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu berkata skim khas itu juga diharap dapat mengurangkan beban kira-kira RM56 bilion yang disalurkan oleh kerajaan kepada PTPTN.
"Maka diharap dengan skim baharu ini, ada pihak yang boleh mengambil alih pinjaman ini dan mengurangkan secara langsung beban kerajaan terhadap PTPTN.
"Kita mahu juga entiti baharu ini sebagai satu harapan baharu, bukan sahaja kepada peminjam PTPTN, tetapi dapat mengurangkan beban pinjaman kerajaan melalui Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) atau pelbagai saluran lain," tambah beliau.
Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid turut mencadangkan agar lebuh raya bertol dicantumkan, selain pengguna jalan raya diberikan potongan harga sekurang-kurangnya 30 peratus.
Langkah tersebut, katanya lebih bermanfaat daripada memanjangkan tempoh konsesi tol, selain mengurangkan beban kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi.
#Dewan Rakyat #Zahid Hamidi #PTPTN #skim khas
;