Wujudkan sistem bantuan sosial dengan konsep subsidi silang - Penganalisis

Israr Khalid
Mac 22, 2022 07:15 MYT
Kita mesti mengalih padangan daripada melihat sistem perlindungan sebagai satu model kebajikan seperti yang kita ada dahulu, tetapi sebagai satu alat pembangunan ekonomi dan solidariti. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perlu ada satu sistem yang melaburkan cukai yang dikutip daripada golongan berpendapatan tinggi untuk dana membantu golongan terhimpit dan memerlukan, cadang Pengarah Pusat Pendidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Prof. Emeritus Datuk Norma Mansor.
Katanya, sistem bantuan sosial ini boleh dibuat secara subsidi silang di mana golongan miskin memberi sumbangan kecil ke dalam pelaburan itu, dan orang kaya yang menyumbang lebih juga turut sama dapat memperoleh manfaatnya.
“Yang paling asas di kebanyakan negara adalah apa yang dipanggil sebagai 'social assistance' atau bantuan sosial. Selalunya tidak ada sumbangan daripada orang yang menerima.
“Ianya datang daripada cukai di mana kita subsidi silangkan iaitu orang yang berpendapatan tinggi juga masuk dalam tabung yang sama, tabung itu kita laburkan dan hasilnya sama-sama dikongsi sama ada mereka yang menabung kecil atau yang mempunyai pendapatan yang besar,” katanya.
Wujudkan sistem bantuan sosial daripada hasil pelaburan kutipan cukai - Penganalisis
Terhimpit yang dimaksudkannya tidak tertakluk kepada tangga pendapatan semata-mata tetapi mereka di segenap lapisan umur yang perlu dibantu.
Oleh kerana kesempitan, krisis dan masalah juga berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira taraf ekonominya, Prof. Norma berkata sudah sampai masanya sistem perlindungan sosial ini ‘diprogramkan semula’ supaya tidak berasaskan pekerjaan sahaja.
“Kita nak pindah pendekatan daripada ‘employment-based’ kepada ‘people-based’. Bila kita melihat kepada kehidupan manusia, kita akan melihat di manakah peringkat umur atau waktu-waktu di mana mereka ini terdedah kepada risiko di mana mereka menjadi rapuh dan mudah terjejas.
“Kalau kita lihat negara-negara maju, contohnya menggunakan kitaran hidup sebagai satu pendekatan kpd perlindungan sosial iaitu semasa kanak-kanak, apabila ibu mengandung bersalin waktu itulah tak ada pekerjaan terutama yang bekerja sendiri,
“Dan di waktu umur produktif apabila hilang pekerjaan, berlaku kecacatan atau sakit, dan bila di hari tua. Jadi ini adalah fasa dalam hidup manusia di mana kita menghadapi risiko,” ujarnya lagi.
Sistem perlindungan sosial perlu beralih daripada berasaskan pekerjaan kepada berasaskan kehidupan - Penganalisis
Maka tegas Prof. Norma, kita mesti mengalih padangan daripada melihat sistem perlindungan sebagai satu model kebajikan seperti yang kita ada dahulu, tetapi sebagai satu alat pembangunan ekonomi dan solidariti.
Kita sebagai satu rakyat Malaysia mestilah melihat bahawa kesejahteraan anggota lain dalam masyarakat sebagai tanggungjawab kita bersama.
“Adakah apabila segelintir atau sekumpulan daripada rakyat Malaysia yang tidak dilindungi ketika berdepan waktu kesusahan, adakah ini yang kita boleh terima apabila kita wujud dalam satu masyarakatyang berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju?”
Tonton temu bual penuh bersama Prof. Norma dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:
Agenda AWANI: Elak miskin bila tua
#kutipan cukai #golongan miskin #subsidi #sumbangan
;