Wujudkan Pusat Rujukan PDPR- PIBGN
Astro Awani
Januari 14, 2021 17:37 MYT
Januari 14, 2021 17:37 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mencadangkan agar sebuah pusat rujukan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) diwujudkan di setiap Jabatan Pendidikan bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah melakukan kaedah pembelajaran berkenaan.
Presidennya, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan menjelaskan, pendekatan PDPR perlu diteliti semula agar semua pelajar dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan tiada pelajar yang tercicir pelajaran.
Pada ketika ini katanya, tiada pendekatan yang berkesan dalam membantu pelajar yang bermasalah melaksanakan PDPR.
"Saya mencadangkan, mencadangkan satu pusat rujukan PDPR diwujudkan di setiap Jabatan Pendidikan kerajaan supaya apa-apa masalah di daerah tersebut dapat diatasi segera dan juga diselesaikan dengan secepat mungkin.
"Iaitu dengan adanya penyelarasan dari segi kandungan, pencapaian mata pelajaran, tetapi juga hal pembangunan insan yang menyeluruh iaitu pembangunan emosi, rohani dan jasmani, pembangunan sosialisasi pelajar diambil kira sepenuhnya," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Pada masa sama, beliau berharap kerajaan dan pihak berkaitan dapat membantu pelajar mendapatkan capaian jalur lebar yang sebaiknya bagi memastikan matlamat PDPR dapat dicapai.
"Pastikan setiap keluarga setidak-tidaknya mempunyai peralatan yang diperlukan untuk PDPR di rumah," ujarnya lagi.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sesi persekolahan 2021 akan tetap bermula pada 20 Januari ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di beberapa buah negeri untuk membendung penularan COVID-19.
Bagi kawasan PKP, kebenaran sekolah secara bersemuka hanya melibatkan murid menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan Peperiksaan Antarabangsa.
Murid yang lain akan bersekolah secara PDPR.
#Astro
#Astro Awani
#pendidikan
#kerajaan
#perintah kawalan pergerakan
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#PKP
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#COVID-19
#guru
#pelajar
#sekolah
#SPM
#peperiksaan
#Malaysia
#pengajaran dan pembelajaran
#PKPP