Wujudkan penjara khusus untuk pesalah syariah - Zainul

Astro Awani
Mac 17, 2017 08:24 MYT
ZAINUL: Pesalah syariah perlu diletakkan di dalam tahanan untuk kelompok mereka sahaja. - Foto Facebook
Pesalah syariah seperti zina, mengajar tanpa tauliah dan tiada kebenaran berpoligami, tidak membabitkan sebarang mangsa perlu diletakkan di dalam tahanan untuk kelompok mereka sahaja.
Sehubungan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, penjara khusus harus diwujudkan untuk memastikan proses pemulihan sekali gus kebajikan banduan sentiasa terjaga.
"Kes seperti ini adalah lebih bersifat tatacara pentadbiran, justeru tidak adil untuk mereka ditempatkan di penjara sivil yang merangkumi pelaku jenayah dadah dan rogol.
"Mereka sepatutnya ditempatkan di penjara khusus yang menyediakan aspek pendidikan dan penerangan mengenai Islam merangkumi akidah serta akhlak untuk tujuan pemulihan. Ia lebih bersesuaian dengan apa yang diperuntukkan dalam agama," katanya semasa sidang media selepas menjadi pembentang Simposium Rang Undang-Undang (RUU) 2016: Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan, Cabaran dan Keprihatinan, di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) hari ini.
BACA: Muhyiddin setuju dengan RUU355 atas dasar prinsip - Tuan Ibrahim
BACA: Akta 355 tersenarai, Kit Siang desak pemimpin komponen BN lepas jawatan
Selain Zainul, tiga pembentang lain adalah adalah Pakar Undang-Undang, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar; Peguam, Nizam Bashir dan Peguam, Arunachalam Kasi.
Ia dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Pada sidang media sama, Adnan berkata kerajaan negeri Pahang akan mempersembahkan intipati Akta 355 kepada pertimbangan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana baginda adalah Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang.
Sebelum ini dilaporkan, usul berkenaan dibentangkan Abdul Hadi pada 26 Mei lepas melalui peruntukan rang undang-undang persendirian yang perlu dicadangkan oleh menteri untuk dibahaskan sebelum speaker membuat ketetapan mengenainya.
RUU 355 yang dibuat anggota Parlimen Marang yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu antara lain bagi meminda Seksyen 2 untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.
Abdul Hadi pada Mei mengesahkan RUU itu bertujuan untuk memperluaskan lagi skop hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah dan bukan bermaksud untuk memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.
Dalam pada itu tegas Zainul, RUU 355 itu bukan kunci untuk pelaksanaan hudud di seluruh negara.
#Abdul Hadi Awang #Adnan Yaakob #PAS #syariah