Wujudkan pelancongan lestari, pulihara spesies terancam - Raja Muda Perlis

Adie Sufian Zulkefli
Disember 6, 2021 18:17 MYT
Raja Muda Perlis bertitah, penduduk setempat perlu didedahkan mengenai kepentingan warisan alam semula jadi dan pengurusan pemuliharaan alam sekitar. - Foto: Pejabat Tuanku
KANGAR: Perlu diwujudkan pelancongan lestari serta pemuliharaan yang ketat terhadap spesies terancam bagi menjadikan sesebuah kawasan tersebut menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha itu juga perlu dijadikan sebagai subjek perundangan pemuliharaan alam, sejajar dengan usaha menjadikan Perlis sebagai destinasi ekopelancongan.
“Beberapa strategi wajar dimanfaatkan dengan sebaiknya termasuklah mendidik penduduk setempat mengenai kepentingan warisan alam semula jadi dan pengurusan pemuliharaan alam sekitar.
“Kesedaran dalam kalangan penduduk tempatan juga harus dipertingkat selain menyediakan hospitaliti dan kemudahan terbaik, pengurusan acara yang lengkap serta memperkenalkan rangkaian maklumat untuk pelancong dan pengunjung.
“Pada masa yang sama teknologi terkini hendaklah dipergiatkan supaya eko-pelancongan ini dapat dipromosikan dalam media sosial kerana ramai yang mencari rujukan melalui sumber tersebut seperti laman web, blog, vlog dan ‘live reviewing’ oleh personaliti terkenal yang menjadikan sesuatu destinasi itu viral,” titah baginda selepas berkenan berangkat meninjau Gua Bukit Ngulang, hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Pengerusi Kelab Sukarelawan Pelancongan Negeri Perlis, Zulkifli Md Jusoh dan Pengusaha Riverview Homestay, Mohd Azrif Md Amin.
#alam sekitar #spesies terancam #Raja Muda Perlis #pelancongan
;