Wujudkan pelan tindakan mobiliti inklusif bagi kemudahan OKU - Ras Adiba
Bernama
September 3, 2022 08:15 MYT
September 3, 2022 08:15 MYT
KUALA LUMPUR: Senator Datuk Ras Adiba Radzi meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mewujudkan Pelan Tindakan Mobiliti Inklusif bagi menambah baik kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) di kawasan pengangkutan awam.
Beliau berkata kemudahan mesra OKU itu termasuk di lif, laluan taktil untuk OKU penglihatan, "Automatic Platform Gates" (APG) yang lebih lebar untuk mereka yang berkerusi roda, kaunter khas bantuan OKU, butang talian bantuan berdekatan lif, tempat letak kereta untuk pemandu OKU dan tempat serahan kereta.
"Saya berharap agar kemudahan seperti ini dapat ditambah baik dengan segera. Hal ini kerana Malaysia sudah merdeka 65 tahun tetapi kemudahan asas seperti pengangkutan awam yang masih tidak mesra OKU di kebanyakan lokasi di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral memberitahu pelan tindakan seperti itu telah pun dilaksanakan di United Kingdom, iaitu "The Inclusive Transport Strategy: Achieving Equal Access for Disabled People".
Selaras dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2022, beliau juga memohon agar MOT melipatgandakan usaha bagi meningkatkan tahap aksesibiliti dan kebolehgunaan kemudahan pengangkutan awam oleh golongan OKU.
Sementara itu, menyambut baik inisiatif tambang percuma bagi perkhidmatan rel dan bas selama sebulan kepada OKU sehingga 30 Sept ini, beliau berkata ia adalah usaha ke arah memastikan pengangkutan awam negara bersifat inklusif tanpa meminggirkan mana-mana pihak terutamanya golongan rentan seperti OKU.
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu turut berkata inisiatif seperti MyRail5 oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) harus diperluas kepada semua pengangkutan awam supaya golongan OKU turut menikmati kemudahan itu.
Sementara itu, Ras Adiba juga meminta MOT dan Kementerian Kewangan mempertimbangkan beberapa cadangan dalam pembentangan Bajet 2023 pada 7 Okt ini.
Antara cadangannya adalah pas pengangkutan awam (Pas Mobiliti MyOKU) bagi KTMB, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Bas Rapid Transit (BRT), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan lain-lain kepada semua golongan OKU berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kedua, peruntukan bagi penyediaan video pendek kecemasan untuk OKU pembelajaran serta khidmat jurubahasa isyarat supaya OKU pendengaran juga dapat bertindak ketika dilanda situasi kecemasan serta menyediakan sistem kecemasan interkom buat OKU penglihatan dan skrin kamera dua hala atau mesej elektronik untuk OKU pendengaran.
"Peruntukan bagi memastikan semua KTM dan tren sesuai digunakan oleh OKU berkerusi roda dengan adanya 'chair lifts', mempunyai tandas khas OKU serta 'tact tiles' yang disusun arahnya dengan betul bagi kegunaan OKU penglihatan," katanya.
Beliau juga mencadangkan agar diperkenalkan semula perkhidmatan pengangkutan awam pintu ke pintu untuk memudahkan pergerakan mobilisasi dan menyediakan pembiayaan mencukupi untuk program pengangkutan bagi sektor swasta dan awam seperti dilaksanakan di Amerika Syarikat.
-- BERNAMA