Wujudkan mekanisme dalam talian berpusat untuk hadapi ancaman keselamatan siber - Gobind

Bernama
September 6, 2024 17:24 MYT
Gobind menekankan cabaran sistem semasa dan proses siasatan, yang memerlukan masa dan penampilan fizikal yang ketara untuk memfailkan aduan dan menjalankan siasatan dalam sesuatu kes. - Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Digital Gobind Singh Deo menggesa diwujudkan mekanisme dalam talian berpusat yang menggabungkan usaha daripada pelbagai agensi untuk meningkatkan pendekatan Malaysia terhadap keselamatan data siber dan perlindungan data peribadi.
Berucap pada Persidangan Perundangan Antarabangsa mengenai Ancaman Dalam Talian 2024, beliau menekankan cabaran sistem semasa dan proses siasatan, yang memerlukan masa dan penampilan fizikal yang ketara untuk memfailkan aduan dan menjalankan siasatan dalam sesuatu kes.
Beliau berkata rangka kerja undang-undang sedia ada memang berfungsi, namun agak terbatas dan mungkin tidak selalu memberikan respons yang pantas dan cekap kepada cabaran yang besar dalam ruang digital, kerana ancaman digital terus berkembang dengn lebih canggih.
"Saya berpandangan akhirnya anda mesti faham bahawa undang-undang dipecahkan kepada segmen yang berbeza. Apabila insiden berlaku, terdapat mekanisme untuk memfailkan aduan, biasanya bermula dengan laporan polis. Selepas itu siasatan dibuka, pegawai ditugaskan untuk menyemak fakta, dan satu pasukan dibentuk untuk menjalankan siasatan menyeluruh.
"Pasukan itu kemudian akan memanggil orang untuk tujuan mengambil kenyataan, membuat tangkapan, mereka juga akan mencari bukti, mereka mungkin perlu masuk ke premis untuk mendapatkan barang (bukti), mereka mungkin perlu pergi ke platform dalam talian untuk menurunkan siaran... Jadi banyak proses yang perlu dilakukan dalam siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Persidangan dua hari yang bermula semalam dianjurkan bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama UNICEF Malaysia, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Bagaimanapun Gobind berkata model semasa, yang sering memerlukan aduan fizikal dan siasatan yang panjang, mungkin melambatkan masa tindak balas.
"Jadi jika kita beroperasi seperti yang kita lakukan secara tradisional, yang memerlukan anda membuat aduan secara fizikal, aduan, kemudian siasatan bermula - semua itu saya fikir ia mungkin satu sistem yang tidak begitu cekap.
"Jadi persoalannya bagaimana anda meningkatkan kecekapan? Bagaimanakah anda mencipta ekosistem yang membolehkan siasatan yang lebih cekap dan tindakan diambil dengan lebih cepat apabila muncul kes-kes seperti ini (dalam talian)," katanya.
Sehubungan itu Gobind menggesa supaya diwujudkan platform dalam talian berpusat yang boleh diselaras lebih pantas antara pelbagai agensi, termasuk polis, pakar keselamatan siber dan badan perlindungan data peribadi (JPDP).
GOBIND-DALAM TALIAN 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Beliau berkata dengan berbuat demikian Malaysia boleh meningkatkan pertahanannya terhadap ancaman keselamatan siber yang semakin berkembang dan melindungi data peribadi orang ramai dengan lebih baik.
Terdahulu dalam ucaptamanya Gobind menegaskan bahawa keseluruhan ekosistem perlu berubah, dan menjadi proaktif kerana jenayah ini boleh merentasi sempadan.
Selaras dengan perkembangan transformasi digital yang semakin pantas, Gobind turut menekankan keperluan untuk membangunkan kerjasama yang lebih kukuh antara badan kerajaan dan pihak berkepentingan dalam sektor swasta, dalam memastikan infrastruktur digital negara kekal selamat.
"Kita perlu mula berfikir di mana kita akan berada dalam 10 tahun akan datang, kita perlu mula mencari teknologi baharu, menerima dan mengakui bahawa orang ramai akan mengubah cara mereka melakukan sesuatu... dan kemudian kita mesti bertanya kepada diri sendiri sama ada kita bersedia atau tidak untuk itu?
"Dari segi persediaan, kita perlu melihat kembali undang-undang sedia ada," katanya.
Gobind juga berkata Rang Undang-Undang Omnibus, yang berkaitan dengan perkongsian data akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.
"Kami akan memperkenalkan Rang Undang-Undang Perkongsian Data pada Disember atau November ini. Kami menyediakannya sekarang untuk memastikan privasi data dilindungi, dan tujuan penggunaan yang sah," katanya.
-- BERNAMA
#mekanisme dalam talian berpusat #Perlindungan data peribadi #Gobind Singh Deo #keselamatan siber
;