Wujudkan mahkamah vaksin, tentukan punca kematian - Dr Musa
Rahimah Abdullah
Mac 14, 2022 08:22 MYT
Mac 14, 2022 08:22 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Dr Musa Mohd Nordin mencadangkan agar mahkamah vaksin ditubuhkan bagi menentukan punca kes kematian individu yang telah menerima vaksin COVID-19.
Pakar perunding kanak-kanak dan neonatologi itu membuat saranan tersebut susulan keberkesanan mahkamah vaksin yang diwujudkan di negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Singapura.
Jelas beliau, ketika ini siasatan lanjut mengenai kes kematian individu yang sudah divaksin diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Saya sudah lama mencadangkan supaya KKM mengguna kaedah di Amerika Syarikat atau di Singapura, di mana ada mahkamah vaksin.
"Sebab, sekarang ini KKM yang menentukan. Jadi, nampak sedikit berat sebelah.
"(Sebaliknya) mahkamah vaksin ini akan menentukan sama ada kematian disebabkan oleh vaksin atau komorbiditi iaitu penyakit lain," katanya.
Dr Musa berkata demikian ketika hadir sebagai salah seorang ahli panel forum awam yang berlangsung secara maya bertajuk 'Vaksin COVID-19: Adakah anak anda perlukannya?' pada Ahad.
Jelasnya, mahkamah vaksin di Amerika Syarikat berjaya mendedahkan, 80 peratus kematian mereka yang telah divaksin adalah disebabkan faktor lanjut usia dan tiada kes melibatkan vaksin Pfizer atau Moderna.
"Di Amerika Syarikat, sudah digunakan 300 juta dos mRNA, iaitu Moderna dan Pfizer. 92 peratus daripada kesan sampingan adalah ringan seperti, sakit-sakit, lenguh, letih dan pening kepala.
"Ada kematian, tetapi lebih 80 peratus adalah daripada kalangan mereka yang lanjut umur dan tiada satu pun yang berkaitan dengan vaksin Pfizer atau Moderna.
"Hanya di Malaysia ada masalah ini. Seperti contoh, ada kes meninggal dunia ketika berbasikal tiga hari selepas ambil vaksin, terus dikatakan puncanya adalah vaksin.
"Namun hasil post-mortem menunjukkan mereka ada serangan jantung.
"Jadi, yang baiknya di Amerika Syarikat, ada mahkamah yang menentukan. Sekarang ini, (di Malaysia) semua KKM tentukan. Itu sebab timbul rasa gelisah rakyat tentang kaedah yang dilakukan," ujar Dr Musa.
Turut senada, pegawai farmasi Dr Azuana Ramli yang mengakui banyak negara lain turut melaporkan kematian individu selepas menerima vaksin.
Beliau yang juga Ketua Seksyen Farmakovigilans, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM Farmasi berkata, antaranya Jepun yang melaporkan 700 kematian setelah ia memberi lebih 170 juta dos vaksin.
"Namun, setelah penilaian, tiada satu pun kematian sebenarnya dikaitkan dengan vaksin diberi.
"Saya terima soalan yang bertanya, dalam banyak-banyak kematian, tidak ada yang disebabkan vaksin?
"Memang itulah hakikatnya. Bukan kita sahaja putuskan begitu, Jepun juga begitu," katanya.
Azuana berkata, penambahan Ahli Jawatankuasa Farmakovigilans termasuk pakar dari universiti dan swasta telah memastikan setiap pelaporan yang dibuat adalah lebih telus dan teliti.
Dalam pada itu, katanya, penerima vaksin COVID-19 boleh melaporkan terus kepada NPRA sebarang kesan sampingan serius, dengan mengisi borang pengguna di laman webnya.
"Kalau terkesan serius dengan vaksin, benda pertama perlu dibuat adalah dapatkan rawatan dahulu. Sebab itu KKM sudah sediakan tatacara panduan klinikal bagaimana untuk menangani kesan sampingan.
"Ada juga kes di mana penerima berpendapat kesan itu disebabkan vaksin tetapi apabila rujuk fasiliti, bukan.
"Penerima juga boleh melaporkan terus kepada NPRA dengan mengisi borang pengguna di laman web kami.
"Apabila kita terima laporan itu kita akan hubungi semula pengadu sekiranya ada maklumat klinikal dan medikal diperlukan," tambahnya.