Wujudkan kesedaran keselamatan hidupan liar di jalan raya dalam kursus memandu - SAM

Bernama
Oktober 6, 2020 18:24 MYT
"Siapakah yang bersalah bagi kematian di jalan raya ini? Ketika memandu, kebanyakan pemandu tidak memikirkan kemungkinan haiwan yang bergerak perlahan seperti mamalia, amfibia dan reptilia," kata Meenakshi. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kesedaran keselamatan hidupan liar di jalan raya perlu dimasukkan dalam kursus pendidikan memandu dalam usaha mencegah kematian hidupan liar di jalan raya.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meenakshi Raman berkata peningkatan hidupan liar yang terbunuh di jalan raya adalah isu yang sukar ditangani.
Katanya, tiada siasatan terperinci mengenai kematian hidupan liar di jalan raya atau langkah keselamatan diambil bagi mencegah kejadian tersebut manakala pemandu kenderaan pula bebas memandangkan tiada pampasan perlu dibayar tidak kira sama ada haiwan itu spesies nadir atau terancam.
"Siapakah yang bersalah bagi kematian di jalan raya ini? Ketika memandu, kebanyakan pemandu tidak memikirkan kemungkinan haiwan yang bergerak perlahan seperti mamalia, amfibia dan reptilia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Insiden terbaharu melibatkan satu kes di Terengganu menyebabkan seekor tapir mengalami kecederaan selepas dilanggar manakala di Johor pula, seekor tapir mati kemungkinan dilanggar oleh kenderaan.
Dalam pada itu, beliau berkata pengembangan rangkaian jalan raya melalui habitat hidupan liar dan peningkatan jumlah lalu lintas mempercepatkan lagi kepupusan spesies yang menjadi salah satu penyebab utama pengurangan hidupan liar selain diancam pencerobohan habitat.
"Untuk mengurangkan kematian di jalan raya, pihak berkuasa membina jambatan eko atau jejambat jalan bawah dan jalan atas untuk membolehkan hidupan liar bergerak dari satu bahagian hutan yang difragmentasi ke satu bahagian lain.
"Tetapi persoalannya ialah sejauh manakah keberkesanan kemudahan ini bagi tujuan hidupan liar melintas dengan selamat," katanya.
Meenakshi berkata Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) perlu dijalankan dan mengambil kira pandangan daripada pihak berkuasa hidupan liar yang boleh menyebabkan kesan kepada fauna asli.
Katanya, perancangan proaktif dan strategik untuk mengurangkan kematian di jalan raya seharusnya menjadi tumpuan utama dalam sebarang perancangan masa depan projek jalan raya membabitkan habitat hidupan liar.
-- BERNAMA
#kesedaran keselamatan #hidupan liar #haiwan liar #jalan raya #kursus memandu #Sahabat Alam Malaysia #SAM #Meenakshi Raman
;