Wujudkan kesatuan sekerja MAB serta merta - MTUC
Dania Zainuddin
September 2, 2015 19:14 MYT
September 2, 2015 19:14 MYT
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kesatuan sekerja bagi syarikat penerbangan baru, Malaysia Airlines Berhad (MAB) diwujudkan serta merta.
Setiausaha Agung MTUC, Gopal Krishnam berkata penubuhan kesatuan sekerja nasional MAB dapat menjamin kebajikan kakitangan syarikat penerbangan nasional yang baru itu.
Gopal berkata ia adalah tempoh yang paling sesuai bagi pekerja MAB untuk mewujudkan kesatuan pekerja dan menekankan langkah ini mampu melindungi pekerja jika mereka berdepan dengan situasi perubahan pengurusan dan sebagainya.
"Saya berasa ini adalah masa yang tepat bagi pekerja untuk mewujudkan kesatuan sekerja kebangsaan.
"Ia adalah satu-satunya cara jika ada perubahan pada pengurusan, mereka boleh dilindungi melalui kesatuan ini," kata Gopal dalam satu temubual bersama Astro AWANI.
Sementara itu katanya, pembubaran Kesatuan pekerja Malaysian Airlines System (MASEA) selepas pengambilalihan MAB adalah tidak wajar.
"Ia adalah satu kesalahan kepada Kesatuan Sekerja MAS yang memilih untuk dibubarkan ketika banyak isu masih belum selesai," katanya.
Syarikat penerbangan MAB memulakan operasinya pada 1 September 2015 selepas selesai fasa penstrukturan semula syarikat menerusi pengurangan jumlah kakitangan kepada 14,000 berbanding 20,000 sebelumnya.
Di bawah pengurusan baru ini, kesatuan sekerja kakitangan MAB masih belum diwujudkan.