Wujudkan kad imigresen untuk pelarian Rohingya - Syed Hamid
Hilal Azmi
Disember 26, 2016 21:30 MYT
Disember 26, 2016 21:30 MYT
Tan Sri Syed Hamid Albar mengulangi cadangan untuk mewujudkan kad imigresen khas bagi memberi status undang-undang buat pelarian Rohingya yang mendapatkan suaka politik di negara ini.
Beliau yang juga duta khas Pertubuhan Negara Islam (OIC) ke Myanmar berkata, ia penting bagi membolehkan pelarian Rohingya dapat menikmati keperluan asas kehidupan secara sah.
Beliau pada masa sama menyangkal kritikan mengenai kelewatan Malaysia menandatangani Konvensyen Pelarian PBB 1951 yang berpendapat kita perlu lebih berhati-hati
"Malaysia negara terbuka dan sebuah negara maritim. Jika kita buka negara kita, maka banyak pelarian akan datang.
"Jadi, kita kena berhati-hati.
"Malaysia atas nama kemanusiaan sudah benarkan mereka untuk datang. Tetapi kalau kita benarkan masuk, kena susun betul-betul," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serahan Sumbangan Kepada Komuniti Rohingya di Sekolah Rohingya Pelangi Kasih pada Isnin.
Jelas Syed Hamid lagi, situasi itu tidak membenarkan orang Rohingya sebagai pelarian di bawah konvensyen pelarian PBB.
Maka dengan cara itu katanya, mereka dapat bersekolah, perkhidmatan kesihatan serta keperluan asas lain yang diperlukan sebagai seorang manusia.
Selain itu, jelas beliau, cadangan tersebut penting bagi memudahkan pengurusan yang berpusat serta tidak mudah dieksploitasi pihak yang tidak bertanggungjawab.