Wujudkan jawatan jururawat pengasuh warga emas depani negara menua - Senator

Bernama
Disember 6, 2023 22:09 MYT
R. Nelson berkata kurikulum bagi tujuan itu telah pun disediakan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, namun difahamkan tidak ada permintaan untuk program tersebut. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Dewan Negara hari ini mencadangkan agar kerajaan mewujudkan jawatan jururawat pengasuh warga emas sebagai persediaan mendepani cabaran Negara Menua 2030.
Senator Datuk Dr R. Nelson berkata kurikulum bagi tujuan itu telah pun disediakan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, namun difahamkan tidak ada permintaan untuk program tersebut.
"Keadaan ini mungkin disebabkan 'career path' (perjalanan kerjaya) bagi kerjaya ini tidak jelas... percayalah jika kerajaan dapat mewujudkan kerjaya jururawat pengasuh ini dan diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam, maka kerjaya itu dapat dilihat dengan lebih jelas dan akan ada permintaan daripada anak muda pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara hari ini.
Menurutnya negara perlu mewujudkan sistem penjagaan warga emas yang terunggul di rantau ini dan mencadangkan agar pusat jagaan warga emas diwujudkan di bangunan kerajaan terbiar.
"Cadangan saya sebelum ini untuk menggunakan bangunan kerajaan yang terbiar sebagai pusat jagaan warga emas secara sepenuh masa atau 'day care' telah diterima. Saya difahamkan satu fasiliti kerajaan akan disiapkan bagi tujuan ini.
"Mudah-mudahan lebih banyak fasiliti kerajaan dapat diubah suai supaya lebih ramai warga emas terutamanya dalam kalangan B40 dapat menjalani hari tua mereka dalam keadaan yang lebih selesa," katanya.
Dalam pada itu, Nelson turut menggesa Kementerian Pendidikan menyegerakan pembentangan rang undang-undang bagi mewajibkan rakyat Malaysia mendapat pendidikan sehingga ke peringkat sekolah menengah, dalam usaha memastikan murid-murid di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tidak tercicir.
"Saya difahamkan setiap tahun hampir 3,000 murid SJKT tercicir dan mereka tidak meneruskan pelajaran ke sekolah menengah kerana ia tidak diwajibkan.
"Keadaan bertambah buruk apabila jarak sekolah menengah dengan kediaman mereka di kawasan pedalaman agak jauh menyebabkan mereka tiada motivasi untuk menyambung sekolah," katanya.
-- BERNAMA
#warga emas #jururawat #Sekolah Menengah #SJKT
;