Wujudkan IPCMC segera untuk tangani salah guna kuasa polis - SUARAM
Firdaus Azil
Mei 4, 2021 18:10 MYT
Mei 4, 2021 18:10 MYT
KUALA LUMPUR: NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) hari ini menggesa agar Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dapat diwujudkan segera di negara ini.
Pengarah Eksekutifnya, Sevan Doraisamy berkata, gesaan itu dibuat selepas mendakwa wujud penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap tahanan sehingga ada yang menyebabkan kematian.
"Kita juga ada rakamkan penyalahgunaan kuasa bukan hanya dalam kalangan anggota polis terutama ketika melakukan penahanan terhadap suspek.
"Kita rakamkan beberapa kes banduan diseksa oleh anggota yang bertugas seperti kematian Ganapathy ketika dalam tahanan walaupun ianya dinafikan Ketua Polis Daerah Gombak mengatakan sebaliknya.
"Tetapi bedah siasat mendedahkan bahawa banyak kecederaan dialami mangsa," katanya dalam sidang media pada Selasa.
Tambah beliau, meskipun aduan telah dibuat kepada Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM, namun, sudah sampai masanya IPCMC diwujudkan.
"Sudah sampai masanya kerajaan sedia ada ketika ini walaupun mereka takut untuk meyakinkan Parlimen, tetapi IPCMC ini sangat diperlukan oleh negara kita," katanya lagi.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe memaklumkan, pihaknya akan mengemukakan cadangan supaya inkues diadakan berhubung kematian Ganapathy.
Ia selepas kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Dalam perkembangan sama, Arifai turut menafikan bahawa dakwaan video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di laman sosial melibatkan mendiang A. Ganapathy.
Video berdurasi 45 saat itu antara lain memaparkan beberapa individu memukul, merotan dan menendang dua lelaki di sebuah bilik.
Terdapat segelintir pihak mendakwa video tersebut merupakan rakaman kejadian melibatkan mendiang Ganapathy yang sebelum ini didakwa dipukul sewaktu berada di dalam tahanan polis sehingga mengakibatkan kematiannya selepas lebih sebulan mendapatkan rawatan di hospital.
#SUARAM
#salah guna kuasa
#polis
#siasat polis
#salah guna kuasa polis
#tahanan mati
#Ganapathy
#CCTV
#Parlimen
#kerajaan
#Polis Diraja Malaysia
#rakyat Malaysia
#NGO