Wujudkan institusi khas lindungi warga emas, pekerja sendiri - Penganalisis
Israr Khalid
Mac 3, 2022 12:29 MYT
Mac 3, 2022 12:29 MYT
KUALA LUMPUR: Warga emas dan pekerja yang tidak terlibat dalam sektor ekonomi formal wajar mendapat perlindungan dengan mewujudkan sebuah institusi wakaf khusus buat golongan tersebut.
Kata pensyarah Pusat Pembangunan Siswazah Perniagaan UNIRAZAK, Prof. Dr. Barjoyai Bardai, ia boleh menjadi insititusi pelaburan yang kukuh dengan bermodalkan keuntungan yang dijana aset-aset negara.
Beliau melihat inisiatif tersebut dilaksanakan dengan jayanya di Norway di mana rakyatnya mempunyai sandaran kewangan yang kukuh dengan sebuah institusi yang mempunyai dana yang semakin berkembang.
“Saya suka melihat contoh di Norway di mana mereka mewujudkan satu dana atau amanah yang dilaburkan menggunakan wang petroleum mereka sejak 1993 dan hari ini sudah bernilai 10 trilion (mata wang tidak disebut).
“Kalau kita ada institusi sebegitu dipanggil ‘endowment institution’ (institusi wakaf), ia membolehkan wang yang kita laburkan di situ mengganda setiap saat dan ini boleh digunakan untuk membantu kumpulan-kumpulan yang kurang bernasib baik atau memerlukan," katanya.
Beliau yakin ia dapat dilakukan sekarang malah boleh diumumkan rancangannya sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 jika kerajaan hari ini benar-benar berani.
Katanya, tiada kekangan untuk melaksanakan inisiatif itu sesegera mungkin memandangkan negara kita mempunyai banyak aset bernilai yang boleh dilaburkan.
“Kita pindahkan Petronas, Khazanah Nasional, semua tanah-tanah rizab Melayu ke dalam institusi itu serta-merta kita akan ada lebih RM1 trilion.
“Tidak banyak tapi dalam masa 10 hingga 15 tahun ia boleh menjadi RM13 trilion, misalnya.”
Ia sekali gus dapat menjadi satu institusi pelaburan yang kukuh yang faedah pendapatan daripadanya boleh menyokong dan menampung keperluan bukan sahaja golongan di luar sektor ekonomi formal, malah keperluan ketika situasi kecemasan atau bencana.
Tonton temu bual penuh bersama Prof. Barjoyai dalam program Agenda AWANI yang dihoskan oleh Dzulfitri Yusop, di sini: