Wujudkan fakulti AI di semua universiti - Mohamad Fauzan

Sinar Harian
Disember 27, 2023 06:30 MYT
Menurut Mohamad Fauzan Noordin, menerusi fakulti tersebut, dasar bagi menentukan arah tuju AI pada masa depan boleh dibina. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Fakulti berkenaan kecerdasan buatan (AI) perlu diwujudkan di semua universiti negara ini agar mahasiswa dapat meneroka teknologi tersebut dengan lebih mendalam.
Profesor Kuliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor, Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin berkata, menerusi fakulti tersebut, dasar bagi menentukan arah tuju AI pada masa depan boleh dibina.
"Negara kita hanya buat satu fakulti AI di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tetapi Emiriah Arab Bersatu (UAE) bukan sekadar dasar, namun mereka juga ada kementerian AI secara spesifik.
"Di Abu Dhabi ada lebih kurang 25,000 pelajar dan 57 sekolah awam yang akan dipantau secara langsung bagaimana mereka ini menjawab soalan dan sebagainya.
"Ini menunjukkan bila negara ada dasar mengenai AI, secara tidak langsung kita juga akan ada undang-undang untuk mengawal dan memantau teknologi ini supaya tidak memudaratkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Siri 425 bertajuk 'AI: Ancaman atau Peluang?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan, Timbalan Pengarah (Penyelidikan) Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Rachel Gong dan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosiobudaya (Saudara), Lim Hong Siang sebagai panel.
Dalam pada itu, Mohamad Fauzan berkata, masyarakat di negara ini menghadapi kekurangan daripada segi persediaan ke arah mentransformasikan digital.
"Negara sedang ke arah ini (digital) tetapi budaya kita belum kerana masih ada yang tak ambil berat soal kata laluan yang memakai tarikh lahir, nombor plat kenderaan dan sebagainya.
"Malah di media sosial juga ramai yang masih berkongsi lokasi kita berada, makan apa dan ada dengan siapa," ujarnya.
Justeru, katanya, undang-undang berkaitan AI perlu digubal dari semasa ke semasa.
"Jangan terlalu lambat sangat sebab teknologi ini bertukar dan berubah setiap enam bulan.
"Realitinya undang-undang kita 10 tahun baru nak tukar," katanya lagi. - Sinar Harian
#kecerdasan buatan #artificial intelligence #fakulti AI #Kementerian AI
;