Wujudkan dana wakaf untuk PMKS - Aktivis belia

Israr Khalid
Februari 11, 2023 12:20 MYT
Shatesh Kumar berkata inisiatif tersebut mungkin dapat memangkinkan usaha mencapai sasaran ditetapkan bagi melahirkan lima unicorn dan 3,000 usahawan pemula (start-up) menjelang 2025. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Syarikat besar yang melabur ke dalam Malaysia wajar dimestikan menyumbang ke dalam tabung dana wakaf khusus untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Cadang aktivis belia Shatesh Kumar Sangar, inisiatif tersebut mungkin dapat memangkinkan usaha mencapai sasaran ditetapkan bagi melahirkan lima unicorn dan 3,000 usahawan pemula (start-up) menjelang 2025.
Beliau melihat walaupun telah ada inisiatif disediakan kerajaan, namun tabung dana wakaf itu dapat menambah nilai kepada ekonomi negara.
“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tentu sekali menyediakan dana kepada pembangunan atau permulaan perniagaan untuk anak muda, tapi bagi saya asas itu sahaja tidak cukup.
“Jadi usaha dan inisiatif kerajaan perlu bertambah baik dalam Belanjawan 2023 dengan menyediakan dana khusus, mungkin kita boleh libatkan dana wakaf,” katanya dalam program Dialog Anak Muda pada Jumaat.
Maklum Shatesh, antara model yang boleh dijadikan rujukan adalah sepertimana Dana Wakaf Sains (Science Endowment Fund) yang diwujudkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Wajar ada dana wakaf untuk PMKS - Dr. Shatesh Kumar
#Dialog Anak Muda #Shatesh Kumar Sangar #usahawan pemula #PMKS
;